Oleh: Abdul Muein Abadi

Kita dikejutkan dengan pengisytiharan Korea Utara yang melarang warga Malaysia yang berada di sana daripada meninggalkan negara tersebut.  Dalam masa yang hampir sama, dunia sekali lagi dikejutkan dengan tindakan Pyongyang melancarkan empat ujian peluru berpandu serentak yang jatuh di kawasan zon ekonomi eksklusif Jepun.  Maka apa pilihan kita dan kuasa dunia?

1) Meskipun Malaysia terkenal sebagai negara berkecuali yang cintakan keamanan, namun kita perlu menggerakkan ‘diplomasi ofensif’ dengan Korea Utara demi membendung sebarang perkembangan negatif.

2) Hubungan diplomasi Malaysia-Korea Utara sebenarnya bermula pada 30 Jun 1973, di mana ia merupakan sebahagian daripada langkah strategik pemimpin negara ketika itu, Tun Razak dalam menegakkan posisi Malaysia sebagai sebuah negara yang benar-benar berkecuali di pentas dunia.  Seiring dengan perkembangan era pasca-Perang Dingin, Malaysia telah menubuhkan pejabat kedutaan di Pyongyang pada 28 Februari 2004 yang kemudiannya dikembangkan dari sekadar pejabat sementara di Koryo Hotel ke bangunan kekal di daerah Daedonggang, Pyongyang pada 2006.

3) Malaysia boleh memilih untuk menggantung hubungan dagang dengan Korea Utara yang dianggarkan berjumlah RM22.72 juta pada tahun 2015 sahaja di mana jumlah eksport Malaysia ke Korea Utara juga cukup signifikan iaitu bernilai RM17.54 juta berbanding import yang bernilai RM5.18 juta.  Tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa dari segi ekonomi dan perdagangan, Korea Utara memerlukan Malaysia lebih daripada Malaysia memerlukan Korea Utara.

4) Kita juga bukan sahaja boleh bertindak secara langsung terhadap Pyongyang, tetapi juga secara tidak langsung menerusi platform pelbagai hala seperti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), dan juga menerusi tekanan halus melalui China yang terkenal sebagai antara kuasa yang boleh mempengaruhi Pyongyang dalam masa terdekat.

5) China merupakan rakan dagang Korea Utara yang paling utama selepas runtuhnya Kesatuan Soviet dengan nilai dagangan sebesar USD6.86 bilion pada 2014 sahaja.  Beijing juga bukan sahaja menyumbang 70 peratus jumlah dagangan Korea Utara, tetapi juga penderma makanan dan tenaga utama kepada Pyongyang.  Namun, ujian pelancaran peluru berpandu Korea Utara dilaksanakan tepat ketika China sedang mengadakan sesi perundangan tahunan Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC). Maka wajarlah hubungan baik Malaysia-China selama ini dimanfaatkan demi membendung ancaman diplomatik Korea Utara.

6) Rusia ialah sebuah lagi kuasa yang sudah sekian lama memiliki hubungan erat dengan Korea Utara, terutama sekali sewaktu era Kesatuan Soviet dan juga di bawah kepimpinan Presiden terkini, Vladimir Putin.  Kesatuan Soviet dahulunya merupakan penyumbang terbesar pembangunan ekonomi seperti bantuan teknikal, pembinaan kilang, bahan mentah, petroleum, dan juga ketenteraan kepada Korea Utara.  Malah hubungan Soviet dengan Korea Utara lebih erat berbanding dengan China terutama sekali pada era Revolusi Kebudayaan. Presiden Putin juga sejak mula memegang tampuk pemerintahan telah melawat Pyongyang dan menandatangani pelbagai perjanjian termasuklah pembangunan bersama zon Timur Jauh Rusia (Far East) serta perdagangan bilateral dalam mata wang Ruble.  Meskipun demikian Rusia senada dengan masyarakat antarabangsa apabila mengenakan beberapa sekatan kerjasama dan bantuan ke Korea Utara susulan isu pembangunan senjata nuklear Pyongyang.

7) Amerika Syarikat (AS) di bawah kepimpinan Trump menjanjikan sesuatu yang berlainan berbanding kepimpinan sebelumnya.  Benar, tindakan AS memulakan pemasangan sistem pertahanan anti-peluru berpandu yang dikenali sebagai THAAD (Terminal High Altitude Area Defense) di Korea Selatan sebenarnya dijadikan alasan oleh Korea Utara untuk meningkatkan program pencegahan nuklearnya yang disifatkan sebagai ‘defensif’. Namun perlu diketahui bahawa Trump telah berulang kali menyebut bahawa beliau bersedia untuk bertemu dan berunding secara langsung dengan Kim Jong Un.  Pada 6 Januari 2016, iaitu apabila Korea Utara melancarkan ujian nuklearnya buat kali keempat, Trump berkata “Ada orang gila di sana yang mungkin akan menggunakan senjata nuklear, tapi tiada siapa pun yang berbincang dengannya sama sekali, malah tiada sesiapa pun yang membincangkannya dengan China”.  Pada 17 Mei 2016 Trump menegaskan sekali lagi, “siapa peduli? Saya akan berbincang dengan sesiapa sahaja, ada 10% atau 20% kemungkinan saya akan berbincang dengannya (Kim Jong Un) agar mengetepikan hasrat membangunkan senjata nuklear, kerana siapa yang nak dia miliki senjata nuklear?”. Pengarah Projek Kerjasama Keselamatan Asia Timur Laut di New York, iaitu Leon V. Sigal turut bersetuju dengan manifesto Trump ini melalui tulisan bertajuk ‘Why Trump should strike a deal with North Korea’ di CNN (7 Mac 2017).

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s