Oleh: Abdul Muein Abadi

Apa yang sedang berlaku di Turki? Apa yang Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan sedang lakukan? Benarkah beliau sedang membangkitkan kembali Khilafah Islamiyah persis era Uthmaniyyah yang tamat 93 tahun lalu?

1) Jika kita di Timur berhadapan dengan isu Korea Utara, di Barat pula Presiden Turki Erdogan telah menggegarkan Eropah sebanyak dua kali dalam tempoh hampir seminggu. Beliau telah mengaitkan Jerman dan Belanda dengan ‘Nazi’, manakala media Barat pula menyelar Erdogan sebagai ‘gila kuasa’ dan ‘cuba menjadikan diri beliau sebagai Sultan/Khalifah’. Mengapa demikian?

2) Sebagai kuasa tentera kelapan terkuat di dunia pada waktu ini menurut Global Fire Power 2017, di samping posisinya yang strategik, politik Turki pasti sentiasa menjadi tumpuan. Sebenarnya Erdogan kini sedang giat berkempen menjelang referendum 16 April 2017 nanti. Secara ringkasnya referendum ini bertujuan untuk mengubah sistem kerajaan Turki daripada sistem berparlimen sekarang kepada sistem berpresiden.

3) Pada waktu ini, kuasa Erdogan sebagai Presiden sebahagian besarnya bersifat simbolik, dengan kuasa sebenar berada di tangan Perdana Menteri dan barisan Kabinet. Referendum 16 April ini bakal memberi Erdogan kesempatan untuk menjadi Ketua Kerajaan, Ketua Negara, dan juga Ketua Parti Politik dalam masa yang sama. Bagi mendapatkan sokongan terhadap referendum ini, Erdogan turut berhasrat untuk berkempen kepada warga Turki yang tinggal di luar negara, termasuklah di Jerman dan di Belanda.

4) Referendum ini melibatkan 18 pindaan utama perlembagaan Turki yang dilihat bakal mengukuhkan kedudukan politik Erdogan secara individu dalam jangka masa panjang – hingga ke tahap mengangkat beliau menjadi Sultan atau Khalifah persis era Uthmaniyyah. Benarkah demikian?

5) Antara pindaan yang menjadi tumpuan ialah pindaan Artikel 104 di mana Presiden bakal menjadi Ketua Negara DAN juga Ketua Kerajaan dalam masa yang sama, beserta dengan kuasa untuk melantik dan memecat para menteri dan Naib Presiden. Tiada lagi Perdana Menteri yang lebih berkuasa daripada Presiden seperti sistem berparlimen sekarang.

6) Pindaan yang paling kontroversi ialah isu di mana Presiden bakal dibenarkan untuk memimpin parti politik yang bertanding di Parlimen, yang kini tidak dibenarkan. Atas sebab inilah Erdogan kini tidak boleh memimpin Parti AKP. Maka, seperti mana dalam pindaan Artikel 77, pilihan raya Presiden dan pilihan raya Parlimen bakal dijalankan serentak lalu sekiranya parti pimpinan Presiden menang di Parlimen, maka beliau bakal menjadi amat berkuasa dan berpengaruh dalam mendapatkan sokongan Parlimen untuk menyokong segala agenda beliau.

7) Antara agenda penting yang bakal dipengaruhi oleh Presiden sekiranya parti pimpinan beliau kelak menang majoriti di Parlimen ialah sokongan pengisytiharan darurat yang boleh diumumkan oleh Presiden namun tertakluk pada persetujuan Parlimen. Sebagaimana yang tercatat dalam usul pindaan Artikel 119, Parlimen berhak untuk melanjutkan, mengetepikan, mahu pun memendekkan masa darurat yang diisytiharkan Presiden. Malah setiap dekri yang dikeluarkan oleh Presiden semasa tempoh darurat kelak memerlukan persetujuan Parlimen.

8) Hal ini menjadikan hampir tiada ‘semak dan imbang’ kuasa antara Presiden dengan Parlimen jika referendum ini diluluskan kelak, berbeza contohnya dalam kes Amerika Syarikat di mana Presiden (Trump) tidak memimpin partinya (Republikan). Namun pindaan ini juga menjadikan keadaan sedikit berbeza berbanding amalan sekarang di mana pada waktu ini parti majoriti di Parlimen berkuasa untuk meluluskan sebarang undang-undang tanpa semakan Presiden mahu pun badan lain.

9) Usul pindaan perlembagaan ini juga bakal menjadikan hampir mustahil untuk memecat (impeach) seseorang Presiden di mana majoriti dua pertiga diperlukan dalam Parlimen yang berkemungkinan dikuasai parti politik sama yang dipimpin oleh Presiden tersebut.

10) Pindaan Artikel 146 menjadikan Presiden bakal berkuasa melantik 12 daripada 15 orang Hakim Mahkamah Perlembagaan, manakala Parlimen hanya melantik 3 orang sahaja.

11) Pindaan Artikel 106 mengatakan bahawa Presiden berkuasa untuk melantik seorang atau lebih Naib Presiden.

12) Pindaan Artikel 89 menyatakan bahawa bagi mengatasi veto Presiden, Parlimen memerlukan undi majoriti iaitu 301 daripada 600 kerusi Parlimen yang bakal diwujudkan kelak (pindaan Artikel 75 meningkatkan jumlah kerusi Parlimen daripada 550 pada waktu ini kepada 600)

13) Pindaan Artikel 87 di mana kuasa Parlimen untuk menyiasat para menteri serta menyemak kerajaan, di samping kuasa Parlimen untuk mengurniakan kuasa kepada para menteri untuk mengeluarkan sebarang dekri pula bakal dimansuhkan

14) Presiden bakal mengusulkan belanjawan fiskal ke Perhimpunan Agung, di mana ahli Parlimen tidak boleh mengubah usul belanjawan awam oleh Presiden. Menurut pindaan Artikel 161, jika usul belanjawan tidak diluluskan, belanjawan sementara bakal diusulkan dan sekiranya belanjawan sementara tersebut juga tidak diluluskan, maka belanjawan tahun sebelumnya bakal digunakan dengan kadar peningkatan mengikut tahun sebelumnya.

15) Pindaan turut menyentuh mengenai kelayakan bertanding dalam pilihan raya di mana dalam pindaan Artikel 76, individu yang memiliki hubungan dengan tentera tidak layak untuk menjadi calon, malah syarat wajib menamatkan latihan ketenteraan juga dimansuhkan daripada kelayakan untuk menjadi calon. Had usia untuk menjadi calon turut diturunkan daripada 25 tahun kepada 18 tahun (Sultan Muhammad Al-Fatih berusia 19 tahun ketika mewarisi takhta pada 1451 dan menakluk kota Constantinople atau Istanbul ketika berusia 21 tahun pada 1453).

16) Terdapat beberapa Artikel lain lagi yang menyentuh mengenai pemindahan kuasa daripada Kabinet (sekumpulan ahli Parlimen yang menang majoriti) ke tangan seorang Presiden.

17) Perdana Menteri Turki ketika ini, yang juga merupakan pemimpin Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) Binali Yildirim menyokong sepenuhnya pindaan dan referendum ini dengan menegaskan bahawa ‘kepimpinan yang kuat sangat penting’ di mana sebarang kemungkinan kewujudan kerajaan campuran yang lemah akibat perpecahan penguasaan kerusi Parlimen bakal dicegah dengan memusatkan kuasa ke tangan Presiden yang dipilih rakyat setiap lima tahun sekali. Dalam masa yang sama beliau turut berpendirian bahawa kerajaan yang kuat dapat mengatasi isu kemelut ekonomi dengan lebih efektif.

18) Sejauh manakah segala pindaan perlembagaan ini yang memperkasakan kuasa Presiden Turki boleh disamakan dengan kemungkinan kembalinya Khilafah di Turki dalam bentuk baharu? Adakah faktor dalaman dan luaran Turki memberi isyarat referendum April ini akan mengulangi titik kebangkitan kuasa berpusat Turki seperti era kemuncak Uthmaniyyah?

19) Secara tersiratnya, langkah pemusatan kuasa ke tangan Presiden ini hampir menyerupai langkah awal pemimpin Uthmaniyyah pada masa lalu iaitu pada abad kelima belas yang memusatkan kuasa ke tangan pemimpin mereka dalam menundukkan para pahlawan Gazi yang kuat dari segi pengaruh ketenteraannya. Perlu diketahui para pahlawan Gazi ini pada awalnya merupakan sekutu utama pemimpin Uthmaniyyah dalam peluasan wilayah dan mereka terdiri daripada para pemimpin puak Turki serta pemimpin Balkan. Demikian juga boleh ditafsirkan daripada pindaan perlembagaan Turki April ini.

20) Secara peribadinya Erdogan memang sejak sekian lama dilihat mencabar visi sekularisme warisan Mustafa Kamal Ataturk dan lebih cenderung membangkitkan nostalgia gemilang Uthmaniyyah. Jika dari segi pendidikan beliau pernah menegaskan isu seperti pengajaran dalam Bahasa Uthmaniyyah (2014), dari segi sosial pula pemansuhan larangan bertudung, melarang pengguguran bayi, mengetatkan peraturan penjualan dan pembelian alkohol, dan pelbagai reformasi demografi ke arah Islamisasi secara tersirat yang pernah menjadi prasyarat kebangkitan Uthmaniyyah

21) Erdogan juga dari perspektif politiknya lebih menghampiri spektrum seorang Khalifah yang disinonimkan dengan pemusatan kuasa, dan bukanlah peminat tegar demokrasi. Jika dahulu beliau memanfaatkan pertalian dengan gerakan Gulen untuk menyingkir musuh politik sekular pro-Ataturk dan tentera menerusi badan kehakiman, kini gerakan Gulen pula menjadi mangsa beliau pasca Kudeta 15 Julai 2016. Erdogan juga memiliki hubungan yang kurang mesra dengan media yang mengganggu gerakan agenda beliau, bukan sahaja dengan menahan para wartawan, malah hingga ke tahap kuasa menyekat internet (Februari 2014), Twitter dan YouTube. Langkah beliau ini ibarat tindakan Sultan Abdul Hamid dahulu yang berusaha menyekat saluran berita yang menyebarkan isu dan menggugat kestabilan Uthmaniyyah.

22) Dari segi geopolitik pula, meskipun menolak penggunaan istilah “Neo-Ottomanism” namun Erdogan dan AKP kini giat melaungkan dengan bangga istilah “Osmanli Torunu” yang bermaksud “Waris Uthmaniyyah”. Malah Turki menaja dua kumpulan bersenjata di Syria yang dinamakan Brigade Sultan Murad dan Brigade Sultan Muhammad Al-Fateh yang secara terang-terangan dilihat cuba menggamit memori era Uthmaniyyah menjadi penaung dan pelindung umat Islam. Erdogan juga tidak segan mempersoalkan strategi Ataturk pada masa lalu seperti mengkritik ‘Treaty of Lausanne’ yang menjadikan peta Turki moden pada hari ini ‘terlalu kecil’ dengan menyasarkan wilayah Mosul di Iraq sebagai sepatutnya berada di bawah penguasaan Turki.

23) Malah, Turki di bawah Erdogan dan AKP juga dilihat memiliki sedikit persamaan dengan perjalanan awal Empayar Uthmaniyyah. Seperti mana Sultan Murad I dahulu berjaya memusatkan institusi ketenteraan ke bawah pengaruh beliau menerusi pemerkasaan Janissari dan mengendurkan pengaruh Gazi, lalu mara menakluk kota Adrianople milik Byzantine pada 1362. Erdogan dan AKP kini mengendurkan pengaruh Gulen, dan pemusatan kuasa ke tangan Presiden membuka ruang untuk beliau mengambil kesempatan Kesatuan Eropah (EU) yang lemah makin berpecah serta Amerika Syarikat di bawah Trump hari ini yang kurang mesra EU.

24) Hal ini demikian kerana Turki sejak sekian lama telah memperoleh manfaat ekonomi dengan hampir separuh eksportnya ialah ke EU, manakala dari segi ketenteraan pula Turki juga telah sekian lama menerima manfaat kerjasama dengan AS menerusi Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). Kedua-dua situasi ini jelas dioptimumkan sepenuhnya oleh Erdogan dan AKP di mana ekonomi Turki telah dilonjakkan dari segi KDNK sebanyak 64% antara tahun 2002-2012, dan 43% dari segi KDNK per kapita. Demikian juga dari segi pembangunan infrastruktur seperti lapangan terbang dan landasan kereta api yang menerima faedah pelaburan langsung asing (FDI) dari Eropah.

25) Malah, hal yang lebih signifikan ialah keberanian Erdogan mengubah geostrateginya daripada pro-AS kepada mesra-Moscow. Hal ini dibuktikan Erdogan apabila memutuskan untuk menandatangani perjanjian erat dengan Rusia melalui pertemuan terkini beliau dengan Presiden Vladimir Putin. Langkah ini jelas menandakan peralihan daripada pro-Barat kepada Dasar Pandang ke Eurasia. Perjanjian terkini ini merangkumi kerjasama ketenteraan dan ekonomi termasuklah urusan paip minyak dan tenaga nuklear. Strategi ini ibarat imbangan kuasa pra-Perang Dunia Pertama Sultan Abdul Hamid, dan juga seperti geostrategi Al-Fatih antara kuasa Katolik dan Ortodoks sebelum menakluk Constantinople (Istanbul).

26) Erdogan nyata tidak tunduk kepada Barat apabila mengambil tindakan keras seperti mengugut untuk membanjirkan Eropah dengan para imigran sekiranya mereka menggantung perbincangan tentang kemasukan Turki ke Kesatuan Eropah (EU). Pastinya tindak-tanduk Erdogan dan Turki ini bakal menghadirkan persoalan mengenai sejauh mana ‘Nilai Barat’ masih diterimapakai oleh Turki dan sejauh manakah ianya relevan untuk Turki kekal dalam NATO dan berusaha untuk menyertai EU.

27) Pastinya Turki pada hari ini berhadapan cabaran zaman yang sedikit berbeza dengan era kemunculan dan keagungan Uthmaniyyah. Cabaran dalaman adalah seperti ancaman berterusan Kurdish (PKK), cabaran inflasi dan ekonomi, ketidakstabilan ekoran perselisihan dengan Gulen, dan pertembungan dengan pewaris Sekularis Ataturk. Manakala dari segi luaran pula ialah keadaan perang berlanjutan di Iraq dan Syria, saingan Greece, kesamaran ancaman AS, ketidaktentuan percaturan jangka panjang Russia, dan juga agenda Iran. Namun kelebihan Erdogan bukan hanya menerusi pemusatan kuasa di tangan Presiden kelak, sebaliknya pada kelebihan pola demografi yang telah dibina beliau dan AKP sejak awal abad ke-20.

28) Melalui gabungan faktor sosial, politik, dan ekonomi dalaman, langkah pemerkasaan kuasa eksekutif Presiden bakal diperkukuhkan dengan kehadiran generasi muda Turki yang celik sejarah Uthmaniyyah dan ditambah pula dengan pengalaman mereka hidup di bawah kejayaan program ekonomi AKP dan Erdogan. Perlu diingat lonjakan peruntukan dan program pendidikan, kesihatan, serta pembangunan wanita dan keluarga di bawah AKP sejak sekian lama bakal mengisi sudut pandang dunia generasi pewaris perjalanan Turki kelak. Demikian juga mereka bakal menuai hasil kerjasama diplomasi serantau dan pelbagai hala Turki di bawah AKP dan Erdogan seperti dengan Azerbaijan, Turkmenistan, Georgia, Albania, Mesir, Somalia, Arab Saudi, Qatar, Iraq, Libya, dan juga Malaysia.

29) Pada satu sisi, sememangnya pindaan perlembagaan Turki April ini berpotensi memberi kuasa eksekutif yang besar kepada Erdogan hingga ke tahun 2029, malah ke 2034. Namun persoalan utama yang perlu diberi perhatian ialah bukannya batang tubuh Erdogan itu sendiri, namun sebaliknya perspektif interaksi antara institusi dalaman Turki dengan suasana geopolitik dunia kelak. Berbeza dengan langkah menegakkan Khilafah dalam bentuk tradisinya seperti era Uthmaniyyah, langkah Erdogan dan AKP hari ini – meskipun kontroversi dan kurang demokratik – namun lebih fleksibel bagi memposisikan Turki pada kedudukan Khilafah moden mendepani cabaran era ‘Westphalian’ semasa dan akan datang, tanpa memerlukan peluasan ketenteraan yang membebankan dan mengundang penerobosan asing seperti mana yang membawa kepada berakhirnya Khilafah Uthmaniyyah pada masa lalu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s