Oleh: Sadiq Jebat

Kematian Marx

134 tahun dahulu iaitu bertarikh 14 March 1883, kematian tokoh marxisme ini dikenang, sehingga namanya diangkat di dalam BBC dengan mendapat undian paling terbanyak bahawasanya beliau seorang pemikir yang termasyhur sepanjang zaman.

Sumbangan Marx dalam bidang sejarah tidak dilupakan sehingga sekarang, teori Dialektikal Historis beliau telah membuka mata manusia tentang kebobrokan kapitalis bahkan, teori itu membantu ramai tokoh sosial dalam perihal konflik antara kapitalis dan proletariat untuk melahirkan idea-idea yang baharu.

Dikala ini ramai yang cuba ‘memahami’ Marx dengan membaca karya Marx daripada sumber sekunder sedangkan karya Marx sendiri tetapi tidak pula ditelaah dengan begitu mendalam.

Terdapat dua kategori yang ingin mendekonstruksi Marx,

  •  Yang terus terang menonjolkan diri dengan menyerang idea-idea Marxism
  • Yang kedua pula cuba untuk menginterpretasikan idea-idea Karl Marx dengan panjang lebar sekali dan memutarbelitkan maksud sebenar yang digarap oleh Marx.

Namun, Marx pernah berkata semasa di penghujung hayatnya

“Apabila aku melihat gelagat dan kerenah orang yang mengisytiharkan dirinya sebagai Marxis, aku saban kali tertanya-tanya adakah aku ini termasuk dalam golongan yang menggelarkan diri sebagai Marxis.”

Membaca karya-karya Marx sangat menyukarkan, bahasanya terlampau tinggi dan penuh dengan perkataan jargon. Sebenarnya itu tidak benar sama-sekali. Marx menulis dengan ilmiah tetapi mudah difahami. Ini kerana penulisannya ditulis untuk golongan pekerja tetapi untuk membangkitkan kesedaran kelas terhadap kebobrokan kapitalisme, disitulah metod Lenin digunakan iaitu “Vanguard Party”.

Walaupun begitu wujud penginterpretasi terhadap Marx iaitu mereka mula membuat argumentasi yang langsung bercanggah dengan apa yang Marx sampaikan. Mereka ini tidak mengaku sebagai marxisme tetapi sekadar marxologi yang membedah karya-karya Marx dengan cukup sekadar mencubit di sana-sini.

Kehidupan Marx boleh di bahagikan kepada dua bahagian bagi memudahkan pembaca, pertama Marx muda (Young Marx) dan keduanya Marx tua (Old Marx). Ini bagi memudahkan para pembaca untuk melihat perkembangan idea-idea Marxism dengan mencapah sehingga kematian menjemputnya.

Ramai pengkritik Marxism menanggap Engels tidak menyumbang banyak idea-idea Scientific Socialism  termasuk teori besar marxisme seperti Surplus Value, Class Struggle. Sedangkan mereka banyak menulis karya secara berduet dalam penulisan The Holy Family, The German Ideology, Communist Manifesto dan Engels turut mengembangan idea falsafah dialektikal materialisme dalam Anti-Duhring.

Ini jelas memaparkan Scientific Socialism yang menjadi titik tolak perbezaan antara Utopian Socialism adalah dibantu oleh rakan karibnya Friedrich Engel dan beberapa rakan beliau di Liga Komunis.

Golongan pekerja dan mahasiswa harus membaca karya Marx agar mereka dapat memahami apa yang Marx sampaikan dan seperti mana yang kita ketahui untuk rakyat Malaysia, golongan pekerja bawahan ini di ’monopoli’ oleh orang asing iaitu bukan ingenious worker (Pekerja Tempatan). Ini yang menyukarkan kita di Malaysia untuk melakukan perubahan.

Pendekatan yang sewajarnya adalah menumpukan kepada golongan kelas pertengahan; Guru, Mahasiswa, Intelektual, kerani, Jurutera dan penjawat awam. Idea-idea Marx bukan sekadar ilmu untuk pengetahuan am, tetapi lebih daripada itu ini kerana idea beliau membincangkan bagaimana memahami dunia secara historis justeru memahami bahawa perkembangan ekonomi memainkan peranan penting dalam pembentukan manusia.

Sejarah Marx.

Marx dilahirkan pada 195 tahun dahulu pada 5 Mei 1818 di Trier, German Rhineland. Keluarganya adalah daripada keturunan Yahudi yang selepas itu menukar agama kepada Kristian (Lutherism). Ini menolak hujah konspirasi Marx seorang Yahudi yang ingin menjatuhkan umat Islam kerana konspirasi Marx seorang Yahudi yang cuba menjatuhkan umat Islam adalah satu pembentukan teori konspirasi yang tidak teratur dan diputarbelitkan.

Marx seorang yang mempunyai intuisi tinggi sejak kecil lagi, beliau dihantar di Universiti Bon untuk meneruskan pengajian dalam perundangan. Pada waktu itu, bidang perundangan adalah amat berprestij dan berguna! Selain itu ada yang mengklaim beliau mempelajari falsafah Yunani dan Rom ini berdasarkan tesis falsafah PhD beliau iaitu tentang konsep atom menurut falsafah Democritus dan Epicurus.

1836 beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Berlin dalam bidang undang-undang dan kerap kali menghadiri kelas Bruno Bauer. Bauer lebih dikenali sebagai anak buah kepada George Hegel iaitu sarjana falsafah idealisme. Beliau mendapat Sarjana Undang-undang di Universiti Jena pada tahun 1841. Diceritakan juga, idea beliau banyak dipengaruhi oleh Ludwig von Westphalen, iaitu ayah kepada isteri beliau. Marx turut mendalami tentang syair dan kesenian.

Westphalen memperkenalkan penulisan Shakespeare dan penyair Yunani kepada beliau termasuk perihal falsafah. Sewaktu beliau di Berlin, beliau lebih mendekati kelompok ‘Left Hegelian’ iaitu satu kelompok yang mengaku aties dan menolak falsafah Hegelian yang berpaksikan kepada kristianiti tetapi mengambil basis pembentukkan idea Hegel. Beliau juga pada waktu itu adalah seorang liberal radikal yang memerangi sistem feudal kerajaan Prusia.

Pada tahun 1843, Jenny anak perempuan Westphalen telah dijadikan isteri kepada Marx dan juga teman sejati sepanjang perjuangannya. Jenny seorang isteri yang sangat radikal dan taat kepada Marx, walaupun dipenuhi ranjau, sakit dan luka perjuangan, hubungan mereka tidak langsung terputus. Malahan Jenny pernah mengukir sebuah syair tentang kehidupannya bersama Karl Marx; menceritakan suka duka mereka mengharungi cabaran sebagai radikalis.

Penglibatan Marx dalam bidang falsafah bukanlah semata-mata bersifat akademik tetapi turut melibatkan diri dalam perdebatan falsafah walaupun beliau masih seorang pelajar universiti. Bidang falsafah menajamkan lagi pemikiran beliau tentang konsep dunia dan cara aturan dunia terbentuk termasuk perkembangan manusia yang berkait rapat dengan materi.

Sewaktu itu, nama George Hegel menjadi sebutan para falsafah kerana kehebatan idea Hegel tentang kesedaran (Consciousness) dan dialektikal. Malahan Hegel juga seorang yang menyokong revolusi Perancis, menurutnya revolusi itu akan membuka satu era baharu bagi masa depan manusia di mana kerasionalan dan kewasaran akan menjadi kayu ukur kepada tindak tanduk manusia dan pengakhiran kepada kemajuan itu adalah kerajaan di Prussia.

Kelompok Hegelian Muda (Young Hegelian) ini dan kumpulan yang sependapat dengan mereka telah bersatu untuk menentang kerajaan Prusia yang menindas mereka ketika itu. Revolusi Perancis pada 1789, dapat menyedarkan rakyat tentang hak mereka termasuk penyebaran idea-idea progresif telah mengubah sistem Jerman Feudal yang sedia ada kepada sistem demokrasi kapitalis.

Sebenarnya idea-idea ini sudah dikhatamkan oleh Marx, kerana sejak kecil lagi, ayahnya telah menjemput beberapa tokoh penting datang ke rumahnya untuk membincangkan idea-idea liberal. Bahkan ayah beliau seorang penyanjung kepada Voltaire dan John Stuart Mill. Tokoh ini kala itu yang menjadi tokoh penting dalam abad pencerahan.

Ayah beliau sanggup membiayai akhbar progresif, Rheinische Zeitung yang memuat turut idea-idea penting bagi menentang kerajaan feudal Prusia. Malahan Marx turut menjadi editor setelah kembalinya di Trier pada 1841.

Ahli-ahli falsafah hanya menafsir dunia dalam berbagai-bagai cara dan bentuk; yang paling penting adalah untuk mengubahkannya.

Ayat ini menjadi satu corak perubahan dalam diri Marx, daripada seorang penggemar falsafah kepada seorang revolusioner. Tetapi tidak menjadikan beliau seorang pembenci kepada falsafah tetapi sekadar mengingatkan ahli falsafah supaya berhenti bercakap sahaja tetapi cuba melakukan gerak kerja yang lebih mendasar.

Sepanjang hayatnya, Marx berjaya untuk menggabungkan ideanya dengan pengalaman hidupnya, termasuk membawa apa yang dipelajari itu dalam pergolakan politik dan sosial pada masa itu.

Sebagai contoh analisis terhadap pemansuhan hak tradisional petani untuk mengutip kayu dari hutan, undang-undang baharu menafsirkan bahawa mengutip kayu dari hutan sebagai kegiatan mencuri kerana kayu itu sudah menjadi milikan tuan tanah yang pada masa itu berpengaruh dan kaya raya.

Malahan golongan borjuis di kala itu sebulat suara untuk menguatkuasakan undang-undang ini pada waktu itu. Jelas bahawa ekonomi kapitalis yang berlandaskan harta individu (swasta) tidak dapat menjamin masa hadapan rakyat yang menderita dan tidak berharta.

Peristiwa itu telah mendorong Marx untuk mendalami lagi pergolakan yang berlaku dalam masyarakat khususnya dari sudut perjuangan kelas (class struggle). Namanya melonjak naik setelah beliau menulis dalam akhbar dan menggugat kewibawaan kerajaan Prusia saat itu.

Maka Marx dipulaukan kerana idea nya yang terlampau radikal menentang kerajaan Prusia. Dek kerana itu, beliau dan isterinya, Jenny, terus ke kota Paris untuk meneruskan perjuangan mereka walaupun dipulau oleh ahli keluarga dan sahabat handai, namun itu tidak mengecewakan pasangan Marx-Jenny itu.

Di Paris Marx telah menjadi penulis di sebuah syarikat akhbar baru iaitu- Dutsche Franzosische Jahrbucher. Pada Oktober Marx mula mendekati ahli falsafah Ludwig Feuerbach bagi membincangkan tentang rencana kewujudan idea-idea yang berpunca daripada hubungan sosial.

Marx percaya bahawa kepercayaan dan hubungan sosial seseorang itu terbentuk dari keadaan dan hubungan materi di dalam masyarakat itu sendiri- kontradiksi teori Hegel. Daripada idea inilah maka Marx beralih daripada idea-idea Hegel dan Hegelian Muda kepada idea-idea Materialisme.

Pembincangan Marx dan Feuerbach agak bersifat abstrak tetapi disitulah pembentukan idea-idea Marx bermula bahkan teori Marx mengenai Materialisme sangat berbeza dengan apa yang di rencanakan oleh Feuerbach.

Marx telah menulis Theses on Feuerbach bahawasanya ada beberapa idea materialisme Feuerbach itu masih bersifat idealis iaitu masih terikat dengan pendekatan idealis Hegel

Menurut Feuerbach, apa yang sangat penting adalah merevolusikan keadaan kehidupan dan mengambil kira idea-idea dan kemungkinan yang akan timbul dari proses atau dinamika perubahan tersebut.

Menakala Marx tidak menganggap perubahan itu dalam konteks intelektual sahaja, tetapi perkembangan idea ini turut membawa sebuah peradaban untuk pembentukan manusia yang hidup dalam konsep kolektivisme. Ini kerana Marx pernah berdepan dengan golongan pekerja yang serba kekurangan dalam masyarakat perindustrian.

Beliau sangat terharu dengan kegigihan golongan pekerja ini hatta mereka dikatakan malas oleh golongan borjuis;

Sejarah pula sedang menyediakan unsur-unsur yang praktikal bagi pergolakan yang berlaku di kalangan ‘kaum liar’ dalam masyarakat yang bertamadun kita ini, agar mencetuskan proses pembebasan umat manusia (Marx dan Friedrich Engel, Collected Work 1975.)

Pada September 1844, Marx telah bertemu dengan rakan karibnya Engels, pertemuan itu asalnya adalah yang kali kedua, di mana pada pertama kalinya, Engel tidak bersetuju dengan idea-idea Marx tetapi perubahan idea Engels sejajar dengan pemikiran Marx telah membuatkan nama mereka melonjak naik ke persada dunia.

Mereka berdua terus mengorak langkah ke hadapan dengan membincangkan ketirisan ekonomi kapitalis dan membuat gerakkan pekerja untuk melawan golongan kapitalis itu sendiri. Pergerakan mereka bukan sekadar lepak dan bincang tetapi soal strategi melawan golongan penindas.

Selain daripada itu, Marx dan Engel juga mempunyai beberapa ‘musuh’ dalam memperjuangkan idea mereka. Proudhon iaitu seorang mutualis sejati telah membidas idea-idea Marx bahawa sewajarnya untuk mencapai sebuah dunia yang bebas dan aman perlu hidup seiring dengan kapitalis dan mengubahnya daripada dalam.

Hujah itu disangkal oleh Marx dalam draf beliau iaitu, Poverty of Philosophy 1847. Marx mengkritik keras idea Proudhon yang bersifat idealistik sekali. Bukan sahaja Proudhon, Marx juga membidas Max Stirner dan Bruno Baur dalam pewujudan idea berkait rapat dengan hubungan sosial (hubungan manusia dan materi).

Marx dan Engel berkerah tenaga dan membanting tulang untuk menjayakan idea-idea mereka dengan menyerang hujah dangkal golongan kapitalis, petit borjuis, anarki seperti Mikhail Bakunin, Sosialis Sejati (Nazi) Jerman dan yang lain.

Mereka telah mengubah idea Utopian Socialism kepada Scientific Socialism dengan pembincangan yang lebih mendasar dan teratur.

Sosialisme tidak lagi menjadi sebuah falsafah sahaja, tetapi sebuah teori yang mapan membincangkan perihal perlawanan kelas, satu produk perkembangan sejarah hasil garapan Marx dan Engel.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s