Oleh: Abdul Muein Abadi

1. Dunia dikejutkan dengan serangan terbaru di Parlimen London. Seramai kira-kira 29 orang telah dirawat di hospital manakala lima lagi telah terkorban, termasuklah penyerang yang dikenali sebagai Khalid Masood.

2. DAESH mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan ini dan menggelar penyerang tersebut sebagai “tentera DAESH”. Sebenarnya penyerang tersebut pernah disiasat agensi perisikan dan keselamatan UK, MI5 (Military Intelligence, Section 5).

3. Secara kebetulan serangan ini berlangsung sehari selepas bermulanya Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA 2017) di Malaysia.

4. Terdapat tiga iktibar penting yang perlu diperhatikan daripada perkembangan di Timur (LIMA 2017) dan Barat (Serangan Parlimen London) ini.

5. Ketiga-tiga iktibar tersebut ialah: Peningkatkan keupayaan ketenteraan tidak boleh sama sekali diabaikan, kerjasama erat dengan negara-negara lain perlu sentiasa diperkemaskan dalam pelbagai dimensi, dan juga pencegahan di peringkat ideologi.

6. Antara sarjana Melayu yang menjadi tumpuan dalam aspek pencegahan di peringkat ideologi ini ialah Dato’ Dr. Afifi Al-Akiti (Sheikh Afifi) yang merupakan Pensyarah Pengajian Islam di Fakulti Teologi, Universiti Oxford. Beliau juga merupakan Felo Pengajian Islam di Oxford Center for Islamic Studies.

7. Beberapa hari selepas peristiwa pengeboman di London pada Julai 2005, Sheikh Afifi telah mengarang ‘Defending the Transgressed by Censuring the Reckless against the Killing of Civilians’ (Mudafi’ al-Mazlum bi-Radd al-Muhamil ‘ala Qital Man La Yuqatil). Karya beliau menentang sebarang cubaan mempengaruhi umat Islam British untuk melancarkan pembunuhan ke atas orang awam mahupun memerangi Kerajaan British.

8. Serangan di London kali ini mengundang kritikan hebat Datuk Bandar London yang juga merupakan seorang Islam, Sadiq Khan. Perlu diketahui bahawa Sadiq Khan memegang mandat peribadi yang terbesar di UK dan ketiga terbesar di Eropah sewaktu memenangi pilihan raya Datuk Bandar London 2016. Pendirian beliau yang pro-dialog antara agama telah mengundang rasa tidak senang dari dua arah – ektremis Islam dan juga anti-Islam.

9. Dari perspektif yang lebih makro, serangan di London ini bukan sahaja mengimpak kepada ketakutan (dan kebencian) kepada Islam dan penganutnya di UK, tetapi juga bakal memberi kekuatan kembali kepada gerakan ultra-sayap kanan yang anti-Islam dan anti-pendatang di Eropah seperti di Jerman dan Perancis selepas gerakan tersebut tewas dalam pilihan raya Belanda baru-baru ini.

10. Dalam keadaan DAESH di Iraq dan Syria semakin tertekan dengan serangan pelbagai penjuru dari Rusia, Syria, dan Turki, kemungkinan terdapat anggotanya yang melarikan diri kembali ke negara asal masing-masing – termasuklah di rantau Nusantara – tidak boeh sama sekali dipandang enteng.

11. Di Malaysia kita tidak kekurangan institusi berskala antarabangsa untuk menggerakkan usaha pencegahan ini, antaranya seperti Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) yang berada di bawah Kementerian Luar Negeri dan terkini penubuhan King Salman Centre for International Peace (KSCIP) yang melibatkan Kementerian Pertahanan. Demikian juga dengan potensi Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF).

12. Selain elemen pencegahan di peringkat ideologi, elemen kebersamaan dengan kerjasama melibatkan negara lain juga cukup penting. Maka relevanlah dalam Persidangan Panglima Tentera Udara anjuran Tentera Udara Diraja Malaysia baru-baru ini, apabila Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin menegaskan kepentingan diplomasi ketenteraan, disamping pembangunan kapasiti kerjasama di peringkat serantau dan juga di peringkat antarabangsa.

13. LIMA juga secara tersiratnya turut menjadi pentas imbangan kuasa geopolitik dunia dan Asia. Jika pada edisi 2015 China mula menghantar pasukan akrobatik udara J-10 mereka, pada edisi 2017 kali ini pasukan Black Eagles dari Korea Selatan pula turut serta. Edisi kali ini juga Rusia menyediakan pameran yang terbesar, manakala Amerika Syarikat tampil menonjolkan sistem dron APUS. Malaysia turut memanfaatkan LIMA dalam memperkenalkan kapal peronda terbaharu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang diterima dari Kerajaan Jepun. Kapal yang dinamakan KM Pekan itu bakal ditempatkan di Kuantan sementara sebuah lagi yang bakal tiba dinamakan KM Arau yang akan ditempatkan di perairan timur Sabah.

14. Pada 21 Mac juga, Malaysia turut mengetuai mesyuarat bersama lima negara iaitu Malaysia, Qatar, Turki, Indonesia, dan Pakistan bagi membincangkan pelbagai isu yang melibatkan kepentingan bersama.

15. Antara acara yang turut berlangsung pada LIMA 2017 kali ini ialah Persidangan Meja Bulat Panglima-Panglima Tentera Laut anjuran Tentera Laut Diraja Malaysia yang melibatkan 12 orang Panglima Tentera Laut dan 25 orang Panglima Tentera Laut Asing. Penyertaan ini merupakan jumlah penyertaan tertinggi sejak penganjuran LIMA yang pertama pada 1991.

16. Malaysia terkenal sebagai negara yang memudahkan pergerakan keluar masuk mana-mana individu di sempadannya atas sebab pendirian positif. Namun tahap kesiapsiagaan Malaysia di pintu sempadan perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa. Aset perlu diperkasa. Kerjasama perlu terus dieratkan. Perlu juga dipesatkan langkah penyebaran doktrin keamanan seperti karya Syeikh Afifi kepada rakyat Malaysia sendiri dan juga dalam masa yang sama ‘mengeksportnya’ ke negara-negara jiran dan antarabangsa.

17. Maka jika Langkawi pada hari ini terkenal dengan Geopark yang diiktiraf UNESCO, tidak mustahil menerusi pendekatan LIMA yang lebih bersepadu ia juga boleh dijadikan sebagai ‘Geopolitical Park’ pada masa hadapan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s