Oleh: Sadiq Jebat

Ideas.

Pada 1843, Marx telah menulis dua draft penting sepanjang zaman, pertamanya adalah Contribution to a Critique of Hegel’s Philosophy of Right iaitu penentangan beliau terhadap idea Hegel berkenaan metafizik dalam konsep kenegaraan, di sini beliau juga membidas agama sebagai khayalan manusia iaitu agama adalah ciptaan manusia semata-mata yang hanya wujud dalam minda manusia.

Bagi beliau hujah Hegel itu idealistik dan tidak nyata. Selain itu di dalam draft inilah kata-kata Marx yang termasyhur tentang agama mula diperdebatkan saban hari iaitu agama sebagai candu. Marx membahaskan perkara ini kerana agama pada waktu itu bertindak sebagai candu untuk kelas pekerja dengan mengurangkan rasa sakit ditindas oleh golongan kapitalis sehingga mereka merasa tiada salah dengan penindasan itu.

Malahan Marx sangat skeptik dengan kehadiran agama, tanpa agama Marx mengatakan manusia bisa maju ke hadapan.

Idea Marx itu disanggah oleh Emile Durkheim tentang kewujudan agama dapat membentuk tamadun yang baik. Manakala Max Weber juga membidas idea Marx tentang agama, hatta Max Weber membahaskan agama dalam konteks ketidakadilan tuhan, tetapi baginya agama masih dapat membentuk jiwa manusia untuk bersatu dalam satu kelompok manusia bagi membina satu tamadun yang berjaya.

Selain itu juga, Marx menulis kepada Bruno Bauer bagi menjawab persoalan Bruno tentang kebobrokan agama Yahudi, beliau melihat polisi dalam agama Yahudi itu sendiri yang membentuk tingkah laku dan perilaku sosial masyarakat Yahudi.

Marx membidas idea-idea Bruno dalam draft beliau iaitu On the Jewish Question. Selain itu beliau turut membicarakan perihal emansipasi politik, manusia dan hak-hak asasi manusia termasuk hak kebebasan. Pencerahan yang diberikan Marx ini lebih teratur dalam membidas idea dalam agama Yahudi, sehingga Marx digelar sebagai anti-semitik oleh penganut agama Yahudi.

Marx meneruskan ideanya dalam pembincangan emansipasi politik yang sangat berkait rapat dengan kewujudan agama. Baginya, kewujudan agama melemahkan manusia itu sendiri kerana kerajaan memberi dos untuk golongan pekerja bagi menindas mereka dengan lebih kerap lagi.

Marx juga membidas maksud hak kebebasan (human right) kerana baginya kebebasan itu sewajarnya dilihat dalam konteks hubungan manusia sesama manusia, bukan sekadar hak individu itu sendiri.

Pada musim panas 1844, beliau juga telah menyiapkan satu lagi tulisan penting beliau, tetapi tidak ditonjolkan sewaktu zamannya iaitu Economic and Philosophical Manuscripts. Dikala inilah beliau berjumpa rakannya, Engel.

Pembincangan dalam tulisan itu membincangkan tentang kebobrokan ekonomi kapitalisme di mana tidak dinafikan bahawa ekonomi kala itu membentuk industri yang baharu saban masa, tetapi penindasan dan keterasingan (alienasi) terhadap golongan pekerja terus berlaku.

Ketika itu Marx baru sahaja berusia 26 tahun, namun kematangan beliau dalam dunia penulisan telah membolehkan beliau mengorak langkah besar ke hadapan khususnya kefahaman tentang ekonomi semasa.

Menurut Marx, “Tenaga dan kudrat si pekerja itu telah dijadikan sebagai bahan pertukaran atau komoditi yang lebih murah nilainya bila dibandingkan dengan nilai komoditi yang dihasilkannya di dalam kilang.

Malangnya peningkatan nilai dunia materialis (kebendaan) pula diiringi dengan penurunannya nilai manusia dan kemanusiaan. Identitinya sebagai seorang pekerja yang menyumbangkan tenaganya lenyap begitu sahaja selepas dia menghasilkan barangan kilang.

Dengan perasaan alienasi, keterpinggiran atau pengasingan ini, si pekerja tidak lagi merasa seronok untuk bekerja atau tidak bangga dengan barangan yang dihasilkan dengan titik peluh sendiri. Malahan dia sudah dianggap sebagai alat, dirinya sebagai robot dan manusia tanpa perasaan lantas dimiliki dan diuli oleh kuasa luar.

Maka kehidupannya tidak mempunyai haluan dan dirinya terasing, terpisah dan keadaan senantiasa memusuhi dirinya sekeluarga.”- (Marx, Economic and Philosophical Manuscripts 1844)

Tulisan ini menjadi satu anjakan paradigma untuk Marx membina idea ekonominya dengan lebih mapan bersama rakan karibnya Engels. Sememangnya kapitalis sudah menyedari bahawa mereka menindas para pekerja tetapi atas dasar pekerja dan majikan, penindasan itu tidak digelarkan sebagai penindasan tetapi hak individu untuk memilih hala-tuju mereka.

Paradoks atau percanggahan yang bertimbal balik ini menjadi nadi penting untuk Marx membidas idea-idea kapitalis, seperti teori lebihan kerja (Surplus Labor) yang dihisap oleh golongan kapitalis menjadi satu perkara penting untuk diperbincangkan. Semestinya mereka (kapitalis) inginkan keuntungan yang lumayan dengan mengawal sumber produksi (Means of Production) seperti kilang, mesin, tanah, resources dan juga tenaga kerja.

Pengasingan dan tekanan keterasingan (alienasi) ini telah menjadi satu masalah dalam sistem kapitalis, maka bagi golongan pekerja untuk menentangnya adalah melalui jalan perjuangan yang terorganisasi dalam menentang golongan kapitalis.

Permasalahan ini wujud dan jika dibiarkan sahaja, maka penindasan ke atas golongan pekerja akan terus berlaku, dan menjadi ala bisa tega biasa sehingga masyarakat menganggap ini adalah satu perkara yang biasa dalam sesebuah negara.

Sedangkan ia bukanlah satu perkara yang biasa dan tidak akan pernah menjadi satu perkara yang biasa apabila membabitkan penindasan terhadap manusia.

Marx mengimbau kebangkitan kelas pekerja dalam menentang golongan kerajaan feudal sewaktu revolusi Perancis. Sewaktu itu, golongan usahawan tempatan atau borjuis tidak mampu untuk mengubah sistem feudal itu kecuali dengan bantuan rakyat yang tertindas, golongan pekerja sajalah yang mampu menyahut cabaran itu dek kerana mereka telah mengharungi pahit getir kemiskinan melampau.

Marx menolak kuasa campur tangan tuhan dalam perkembangan manusia di mana bagi beliau berlakunya konflik antara kelas pekerja dengan kapitalis akan melahirkan tatanan hidup, sistem politik, dan kerajaan yang lebih baik.

Oleh sebab itu, Marx percaya perubahan boleh dibawa oleh kelas pekerja, bahkan kajian ahli ekonomi Inggeris terhadap pergerakan sistem pengeluaran kapitalis telah mengukuhkan pendirian Marx bahawa “Pembebasan kelas pekerja adalah pada pekerja sendiri”.

Kritikan terhadap agama diterima sedikit oleh Feuerbach berkenaan tindakan ekonomi bukan berpunca dari kuasa-kuasa tuhan, logik, atau kewarasan pemikiran, tetapi Marx telah melangkau jauh daripada itu.

Bahawasanya, Marx percaya sejarah itu ditentukan oleh tindakan manusia dan konsep kefahaman manusia pula berkisar bersama perjuangan manusia untuk mengubah dunia materialis ini dengan menjadikannya sebuah dunia kolektivisme.

Tulisan Marx yang lain pula adalah The German Ideology iaitu antara kritikan beliau terhadap fahaman materialisme Feuerbach. Tulisan ini membidas segala idea-idea Feuerbach yang masih bersifat idealistik dan metafizik, tidak saintifik.

Dalam tulisan ini juga Marx membahas tentang agama dalam hubungan manusia, tetapi lebih banyak menyentuh tentang perkembangan manusia dalam konteks sejarah.

Daripada sinilah terbinanya idea Historikal Materialisme, sejarah yang menjadi akar penting pembentukan idea-idea ekonomi dan sistem politik.

Marx juga menjelaskan lagi perbezaan antara idealisme dan materialisme bahawa materialisme adalah satu interpretasi tentang hubungan manusia dengan materi yang mampu melahirkan idea baharu. Manakala menurut Idealisme pula, kehadiran materi itu kerana wujudnya ideal.

Sebenarnya perbezaan antara materialis dan idealis adalah berkisar kewujudan idea dalam perkembangan akal budi manusia. Pembincangan Marx mencakupi ruang politik dan ekonomi, menceritakan pembentukan teori konflik antara tesis dan anti-tesis dalam pembentukan sintesis.

Di dalam banyak makalah beliau, beliau menghubungkaitkan kepentingan linguistik dalam perkembangan manusia. Iaitu manusia memerlukan satu bahasa pertuturan bagi mengembangkan idea-idea. Penulisan ini ditulis sewaktu Marx Muda, dan perubahan Marx Muda dan Marx Tua berlaku dalam pemansuhan idea-idea nya tersendiri.

Dikatakan Marx Muda bersifat radikal, manakala Marx Tua agak ego-sentrik dan menumpukan kepada pembincangan teori sahaja. Sebenarnya ini adalah momokan untuk menjatuhkan Marx. Marx tetap aktif dalam berjuang, walaupun kadangkala sibuk memikirkan kebobrokan sistem kapitalis tetapi saban masa dia tetap menulis artikel sampingan berkenaan tentang kepentingan bersama dan kebersamaan.

Penerangan beliau tentang hak-hak hubungan sesama manusia dalam pembahagian kepentingan bersama yang menekankan kepada konsep division of class (Pembahagian kerja dalam konteks Pemilikan bersama).

Apabila manusia membuat kerja secara bersama, maka wujud kesalingantungan antara mereka, maka kewujudan kepentingan umum (general interest) adalah bersama dalam pembahagian kerja. Jelas di sini bahawa Marx menekankan hak kebersamaan yang bersifat kolektif.

Pembahagian kerja inilah yang mewujudkan alienasi terhadap manusia, kerana pembahagian kerja akan mencipta distribusi daripada kerja dan produk yang berbeza-beza. Pembahagian kerja jelas adalah contoh utama bahawa manusia hidup dalam masyarakat yang berkembang kolektif secara alamiah dan mengapa pula pemilikan itu perlu dimiliki secara individu? Itulah yang menjadi satu masalah akan sistem kapitalisme.

Berkenaan produksi yang dimonopoli oleh satu kuasa sahaja sedangkan kerja dilakukan oleh golongan pekerja.

Menurut Marx dan Engel, “Kami memperhatikan aspek aktiviti manusia iaitu pembentukan alam ini dibentuk oleh manusia sendiri, aspek lainnya berkaitan pula dengan penciptaan manusia oleh manusia”- The German Ideology.

Jelas bahawa hubungan manusia sesama manusia bertindak dalam membentuk alam dan sejarah.

Tulisan The German Ideology adalah tulisan awal Marx dan Engel dalam membahas sumber daya produksi berkait rapat dengan hubungan manusia serta perkembangan manusia yang berhubungkait dengan pembentukan sosial dalam ekonomi.

Sewajarnya bagi sosok manusia yang ingin menelaah Marxisme, perlu untuk membaca karya-karya penting ini, agar maksud sosialisme itu difahami secara mendalam bukan sekadar superficial. Selain itu Marx banyak menulis draft yang membidas idea-idea dangkal musuhnya, dalam The Holy Family, kritik terhadap Young Hegelian.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s