Oleh: Azeem Lenin

Setiap kali isu gelandangan diutarakan di dalam mana-mana perbincangan, kita tidak dapat lari daripada mendengar perkataan ‘merosakkan pemandangan’, ‘kotor’, ‘tidak selamat’ dan sebagainya. Ramai antara kita melihat orang gelandangan ini sebagai satu masalah sosial yang tidak pernah boleh diselesaikan, dan apabila pendapat yang sama singgah di benak pembuat undang-undang, maka wujudlah akta seperti Akta Orang Papa 1977 [Akta 183] yang bertujuan membanteras gejala ini. Akta ini meletakkan orang gelandangan dan pengemis di dalam label yang sama, iaitu orang-orang papa. Pada dasarnya, Akta 183 bertujuan mengadakan peruntukan bagi menjaga dan memulihkan orang papa dan bagi mengawal kutu rayau, namun menurut statistik daripada tahun 2013 sehingga tahun 2015, bilangan tangkapan telah meningkat (2013: 1, 048 kes; 2014: 1, 469 kes; 2015: 1, 527 kes). Nota: Statistik untuk tahun 2016 tidak diselaraskan lagi oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Hal yang demikian memberikan ruang yang sempurna untuk kita mempertikai keberkesanan akta tersebut; sama ada ia benar-benar dilakukan mengikut peruntukan, ataupun pendekatan yang digunakan mungkin tidak praktikal.

Kewujudan orang-orang papa boleh dikaitkan dengan ekonomi sesebuah negara. Ekonomi negara yang tidak stabil memaksa rakyat berdepan dengan cabaran-cabaran luar kawalan seperti taraf hidup yang tinggi, kerjaya yang tidak tetap, terdesak untuk berhutang, menjual dan menggadai harta benda dan gejala-gejala sosial seperti jenayah, arak dan dadah (sebagai mekanisme sementara untuk menghilangkan tekanan). Apabila mereka sudah tiada pilihan lain, mereka terdedah untuk melepaskan segala-galanya demi menjalani hidup sebagai gelandangan. Usaha Akta 183 sememangnya mempunyai lunas undang-undang yang baik untuk mengurangkan isu gelandangan, namun, dengan menghalalkan tindakan penguatkuasa melayan mereka seperti penjenayah bukanlah sesuatu yang berperikemanusiaan.

Adakah dengan melabelkan mereka sebagai ‘penjenayah’, kerajaan dapat menyelesaikan masalah? Perlu diingatkan, keadaan ekonomi dan sosial yang menghimpit mereka, bukannya atas pilihan sendiri.

Menurut Akta 183, orang papa ialah seseorang peleser yang dijumpai di sesuatu tempat awam, sama ada atau tidak dia mengemis, yang tidak mempunyai mata pencarian pada zahirnya atau tempat tinggal atau yang tidak dapat menyatakan hal dirinya dengan memuaskan. Definisi yang sama digunakan kepada terma orang-orang gelandangan.

Berdasarkan laporan daripada Food Not Bombs Kuala Lumpur, sebuah pertubuhan bukan kerajaan, temubual bersama orang-orang papa menyatakan bahawa ketika ditahan beramai-ramai di bawah Operasi Gelandangan dan Pengemis di bawah Akta 183, mereka telah dicabul hak asasi mereka. Mereka ditahan tanpa diberikan masa untuk mengambil barang-barang peribadi dan dokumen-dokumen pengenalan yang penting. Akhirnya, barang-barang tersebut dibiarkan di tepi jalan untuk dicuri. Mereka juga dinafikan sebarang hak untuk diwakili dan juga tidak diberitahu sebab musabab penahanan tersebut. Mereka dilayan dengan kasar oleh penguatkuasa, dan reman pula berlaku dengan begitu lama sekali. Setelah dipindahkan ke rumah kebajikan (hanya 10 unit di seluruh Malaysia), mereka pula tidak dijaga kebajikan kerana disumbat melebihi had-had penginapan.

Merujuk kepada Artikel 5(1) Perlembagaan Persekutuan, setiap rakyat Malaysia dilindungi kebebasan mereka. Artikel 13 pula menyatakan rakyat Malaysia mempunyai hak untuk memiliki harta. Bagaimana mungkin pelaksanaan Akta 183 tidak mengikut lunas undang-undang tertinggi di Malaysia?

Masalah gelandangan dan pengemis tidak boleh disandarkan keseluruhan kepada mereka semata-mata. Ada pelbagai faktor lain yang menyumbang kepada kewujudan mereka. Satu-satunya harapan mereka untuk mencapai perubahan iaitu Akta 183 perlu disemak semula mengikut keperluan. AKTA 183 PERLU BERHENTI MELAYAN MEREKA SEBAGAI PENJENAYAH!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s