Oleh: Azwar Kamaruzaman

“Amirul… Amirul…” Panggil seorang wanita yang umurnya sudah mencecah setengah abad dari dapur, sibuk menyediakan makan tengah hari. Walaupun merasakan lututnya seperti ada benda yang mencucuk-cucuk dan tidak boleh diubati lagi, wanita ini tetap mengagahi juga kudratnya yang masih ada untuk bergerak ke sana sini.

Kalau tidak memaksa badan yang hanya tinggal tulang dan kulit itu mencari wang, bagaimana keluarganya mahu makan? Macam mana dia nak menyara persekolahan anak-anak? Tambahan pula anak sulungnya, Amirul ini bakal menjejakkan kaki ke menara gading tak lama lagi. Lagilah dia perlu berusaha keras dan gigih.

Baginya, kejayaan Amirul itulah pengubat segala kesakitan yang mula bersarang di dalam badannya. Sungguh, dia tidak lagi berasa sakit apabila berjalan keliling kampung menjual kuih semata-mata mahu mencari duit lebih. Malah, seperti satu nikmat pula apabila dapat memberikan rezeki yang halal kepada anak-anaknya.

“Ya mak,” jawab anak sulungnya itu. Amirul masih lagi melipat pakaian dan mengemas beg yang bakal dibawa ke universiti kelak.

“Mari makan nasi dulu. Lepas ni sambung balik kemas barang tu,” laung emaknya dari dapur.

“Lauk apa mak?”

“Macam biasalah. Tapi hari ni mak masak special sikit. Cepatlah, panggil adik-adik sekali,” kata emaknya gembira. Dia tersenyum sendirian apabila mendapat respons positif daripada anaknya itu.

Ketika ini, anak-anaklah yang menjadi penguat hidup. Kalau bukan kerana mereka, sudah lama dia merasakan jiwanya sudah tidak wujud lagi di bumi ini.

Tuhan itu Maha Adil. Dia tahu sejauh mana manusia mampu bertahan dengan ujian yang diturunkan. Dia tidak kejam. Dia uji sedikit hari ini agar masa depan nikmatnya dapat dirasa selamanya.

Seperti juga kehidupan mereka. Walaupun ujian bertimpa-timpa namun Tuhan menganugerahkan anak-anak yang cerdik dan bijaksana. Sebut saja anak Kak Som, seluruh pelosok kampung mengenali Amirul dan adik-adiknya. Masakan tidak, setiap kali ada perhimpunan atau majlis penyampaian hadiah di sekolah, kalau Amirul atau adik-adiknya tidak naik ke pentas mesti ada yang tak kena. Kiranya batang hidung Amirul wajib ada setiap kali sesi penyampaian hadiah diadakan.

“Kejap mak…” Amirul meninggalkan kerja dan terus mencari adik-adiknya yang sedang leka menyiapkan kerja sekolah dalam bilik masing-masing.

“Syafiq! Husna! Jom makan, mak dah panggil,” laung Amirul. Kedua-duanya langsung tidak membantah. Terus membontoti abang mereka ke dapur.

“Haaa… duduk-duduk…. sekejap ye, mak nak amik lauk last sekali. Ni special untuk abang Amirul,” ungkap emak mereka yang senyumannya masih belum lekang di pipi.

“Eh, mak pandai sebut perkataan special laaa! Mana mak belajaq?” Tanya Husna yang mulutnya paling becok dalam keluarga. Persoalan itu membuatkan semua yang berada di ruang serba sederhana itu terburai tawa kecuali Amirul. Mukanya masih masam mencuka.

“Ingat hampa ja terer bahasa omputih ni. Mak pon reti lah. Jangan nak peleceh mak sangat. Nanti sekali mak cakap omputih tak berhenti, tak tidoq malam ampa dok dengar mak beletiaq,” Mak Som jawab cuba seloroh. Langsung tidak makan hati dengan perangai Husna. Sesungguhnya perangai Husna itulah yang selalu menceriakan suasana.

“Untuk abang je? Habis tu kami tak dak yang istimewa la mak?” Tanya Syafiq yang sejak tadi membisu.

“Abangkan dah nak pergi universiti. Nanti abang dah tak dak dengan kita. Jadi hari ni mak masaklah yang special-special untuk abang dulu. Ampa dua nanti tetiap hari mak masak yang special-special.”

“Mak, kenapa masak banyak sangat ni?” Tiba-tiba Amirul bersuara bagaikan tidak berpuas hati dengan masakan emaknya.

“Awat? Hang tak suka ka? Takpa la mak nak masak banyak-banyak pun. Lagipun, bila lagi hang nak makan macam ni. Nanti hang pi dok jauh bukan selalu rasa masakan emak. Mak pun lama dah tak masak banyak-banyak untuk ampa semua. Sekali-sekala apa salahnya. Haaa, dah… makan…. makan…” jelas Mak Som sambil mencedok nasi ke dalam pinggan anak-anaknya.

“Membazir ni mak,” Amirul masih belum berpuas hati dengan penjelasan emaknya.

“Apa nak membazirnya. Bukannya mak masak bagi dekat orang lain pun. Mak bagi kenyang perut ampa jugak. Tak dak membazirnya haih. Kalau dah hang rasa membazir, hang makan semua sekali nah,” tambah Mak Som sambil menyudu Ketam Masak Kuning ke pinggan Amirul. Amirul tidak mampu berkata apa-apa lagi. Mahu atau tidak, dia terima saja apa yang diperkatakan emaknya.

“Esok nak bertolak pukul berapa?” Tanya Mak Som kepada Amirul yang berselera menyuap makanan.

“Tak tahulah mak. Kena tanya Pak Hanip. Kenapa? Mak nak ikut sekali ka?”

“Mestilah! Teringin jugak mak nak tengok universiti hang tu lagu mana. Besaq mana. Entah-entah besaq negeri Kedah paaa…”

“Betoi mak. Cikgu cakap universiti tu besaq gedabak. Belajaq dalam kelas ada air-cond. Lepas tu belajaq guna komputer. Tak guna dah kapur-kapur macam sekolah ni. Budak-budak pandai ja boleh masuk universiti,” tiba-tiba Husna mencelah perbualan Amirul dan emaknya. Hampir tersembur nasi yang berada dalam mulut Mak Som bila mendengar celoteh Husna.

“Betoilah apa yang cikgu hang cakap. Kalau nak masuk universiti ampa kenalah belajaq rajin-rajin sikit. Jangan nak baloq liat sangat. Tengok macam abang hang ni. Esok dah nak masuk universiti ja. Tak sia-sia la dia dok rajin selama ni,” Mak Som memberi nasihat kepada anak-anaknya.

“Mak tak payah ikutlah. Kesian dekat adik-adik tak dak sapa-sapa nak jaga. Lagipun, kereta Pak Hanip pon bukannya besaq sangat nak bawa kita semua. Mak pon bukannya larat sangat. Kot-kot pening nanti dalam perjalanan macam mana? Baik mak dok rumah je lah,” Amirul cuba menghasut Mak Som daripada menghantarnya untuk pendaftaran.

“Haih…. mana boleh. Pak Hanip yang suruh mak ikut ampa pi. Hang tau dak, orang kampung kumpul duit suruh Pak Hanip sewa kereta yang lawa-lawa untuk hantaq hang. Tak kan mak tak ikut. Uishh… tak boleh… tak boleh. Mak mesti ikut, adik-adik hang mesti ikut. Baru semangat sikit depa ni nak mengaji.”

Amirul tidak mampu mengeluarkan kata-kata lagi. Akhirnya dia pasrah saja.

***

Malam itu, selesai makan malam bersama keluarga mereka duduk di ruang tamu rumah. Walaupun kayu yang menjadi lantai sudah hampir reput manakala bumbung pula sudah berlubang-lubang, tapi memadai jika punggung masih selesa tatkala mendarat di atas lantai.

Mungkin tak selesa bagi orang yang sudah biasa duduk di rumah batu, berbumbungkan atap genting dan tidur di bilik berhawa dingin. Tapi bagi mereka itu sudah cukup menyamankan. Malah, di teratak inilah menjadi tempat mereka sedar nasib diri dan membina semangat untuk belajar bersungguh-sungguh.

Lagipun, kalau selesa sangat takut juga terlupa keadaan rumah terakhir kita nanti. Tidaklah selesa sangat. Setakat panjang dan dalamnya tujuh kaki, tiada siapa boleh berbangga dengan kubur mereka kelak.

Husna dan Syafiq berhenti membuat kerja sekolah. Mak Som pula berehat daripada membuat kerja-kerja dapur. Mereka semua duduk mengelilingi Amirul. Masing-masing cuba membantu apa yang boleh. Tatkala anak-anak sedang sibuk mengemas, Mak Som bangun dan masuk ke dalam bilik. Dia mengambil sesuatu untuk diberikan kepada Amirul.

“Nah, Mirul,” Mak Som menghulurkan beg plastik berwarna biru yang tertulis perkataan SAMSUNG. Beg itu bertukar tangan.

“Apa ni mak?” Belum sempat Amirul melihat isi dalam, terus dia bertanyakan kepada emaknya. Dia sudah dapat mengagak, tapi…

“Bukalah! Tengok sendiri,” balas Mak Som sambil tersenyum gembira.

Perlahan-lahan Amirul menarik kotak yang dia sendiri tidak tahu apa isinya. Berdebar juga jantung tatkala melihat kotak tersebut di depan mata. Adik-adiknya juga turut menanti untuk melihat isi kotak tersebut. Emak mereka sejak tadi tersenyum melihat telatah dan gelagat anak-anak kesayangannya. Sebaik saja kotak itu dibuka sepenuhnya…

“Kenapa mak beli benda ni?” Tanya Amirul.

“Eh, henset la abang!” Husna merampas kotak tersebut dari tangan Amirul.

“Kenapa? Amirul tak suka ka?” Soal Mak Som kembali tatkala melihat riak wajah Amirul yang sukar ditafsir.

“Tengok ni, siap ada kamera lagi. Mak, kenapa beli dekat abang ja? Untuk Husna dengan Apit, mak tak beli pun?” Tiba-tiba adik lelaki bongsunya merengek.

“Mak beli ni untuk abang. Nanti senang abang nak talipon kita. Lagipun sekarang ni mana ada orang pakai public phone. Semua ada handphone masing-masing. Jadi, mak belilah satu untuk abang. Kalau Una dengan Apit nak henset macam abang jugak, kenalah belajar bersungguh-sungguh. Masuk je universiti macam abang, terus mak belikan sorang satu,” Mak Som memberi semangat kepada anak-anaknya yang lain.

“Tapi mak, baik beli benda lain daripada benda ni. Lagipun, benda ni mahal,” Amirul masih belum puas hati dengan apa yang dilakukan oleh emaknya.

“Apa yang tapi-tapi lagi bang. Syukurlah dengan apa yang mak bagi. Abang tengok ni, canggih kot talipon ni. Kawan-kawan Husna pon tak pernah ada talipon macam ni. Ni siap ada kamera lagi. Ada macam-macam game pulak tu. Kalau henset kawan-kawan Husna, semua game ular je. Tak best langsung,” Husna mula mengomel sambil memegang telefon bimbit tersebut. Dia mendahului orang lain. Laju betul dia membuka aplikasi-aplikasi telefon itu.

“Tak baiklah cakap macam tu, Husna. Apa yang mahalnya, Mirul. Mak dapat rezeki lebih sikit, jadi mak belilah yang elok sikit. Lagipun, bukannya Amirul boleh balik selalu. Johor tu jauh. Jadi mak siap-siap beli yang mahal sikit supaya tak banyak masalah. Nanti tak payahlah Mirul nak berulang-alik dari universiti ke kampung,” tambah Mak Som.

Amirul tidak mampu lagi meluahkan sebarang kata-kata dari mulutnya. Tiada perkataan yang sesuai untuk diucapkan ketika ini. Dia hanya mampu melihat kedua-dua adiknya mengomel. Hatinya benar-benar tersentuh melihat pengorbanan besar emak terhadap dirinya. Sungguh dia tidak sangka emak sanggup melakukan apa saja demi kesenangannya.

“Mirul pakai henpon ni elok-elok tau. Jangan salah gunakan benda ni. Guna untuk benda penting-penting saja. Jangan nak membazir pulak kredit tu. Lagi satu, jangan nak main benda ni waktu dalam kelas. Mirul kena tumpukan perhatian pada cikgu yang mengajar,” kata Mak Som yang terus menerus memberi nasihat. Kali ini entah mengapa kata-kata emaknya benar-benar membuatkan air mata Amirul jatuh.

“Dekat sana dah tak panggil cikgulah mak. Yang dok mengajar budak-budak universiti tu orang panggil pensyarah. Cikgu orang panggil dekat sekolah je,” sempat lagi Husna menyakat Mak Som walaupun tangannya masih menekan-nekan skrin pada telefon bimbit abangnya.

“Manalah mak nak tau. Mak hentam je. Mak ni bukan pandai macam anak-anak mak,” sengaja Mak Som mengeluh mahu menarik perhatian Husna.

“Mak… Maafkan Mirul kalau Mirul ada buat salah apa-apa. Mirul janji akan belajar bersungguh-sungguh. Terima kasih untuk semua ni, untuk Mirul dengan adik-adik. Mirul tak tau apa yang jadi kalau mak tak dak nanti,” Amirul terus memeluk emaknya. Husna dan Syafiq tersentak melihat adegan itu.

“Takpa Mirul. Selagi mak boleh kerja untuk keluarga kita, mak akan berusaha memberi kesenangan kepada anak-anak mak. Kalau boleh, mak nak semua berjaya, hidup senang, tak merempat sana sini, tak kena kerja teruk-teruk macam mak,” Mak Som meluahkan rasa hatinya dalam pelukan Amirul. Sudah lama dia tidak rasa begini. Sungguh dia tenang dan selesa berada di dalam pelukan anaknya.

MakMaafkan Mirul andainya satu hari nanti Mirul melakukan kesilapan besar.”

***

Kenching sebuah novel Azwar Kamaruzaman terbitan Buku Pojok boleh didapati di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 bermula dari 28 April hingga 07 Mei 2017.

One thought on “Kenching (Bah. 1)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s