Oleh: Azwar Kamaruzaman

Pagi itu langit membiru seperti selalu. Awan putih terapung-apung di angkasa. Merpati dan gagak seronok berterbangan sana sini membelah cahaya mentari. Alam seperti merestui keceriaan dan kegembiraan sebuah keluarga yang tampak kekurangan dari pandangan mata kasar namun begitu bahagia dalam jiwa mereka.

Amirul mengheret beg besar jenama Polo bukan original yang dibeli menggunakan wang hasil kutipan orang kampung khas untuknya. Dia meletakkan beg itu ke dalam bonet kereta yang disewa Pak Hanip.

Pak Hanip memegang jawatan Ketua Kampung yang mewakili penduduk-penduduk Kampung Mesra. Umurnya sudah menjangkaui 50an. Seorang yang berwibawa dan sentiasa menjaga kebajikan penduduk kampung. Pak Hanip tidak memilih bulu, baginya semua manusia serupa sahaja. Kaya, miskin, tua, muda, PAS atau UMNO semuanya sama, last-last masuk kubur juga. Semua dilayan sama rata.

Jadi, buat apa dia mahu membandingkan seseorang dengan yang lain. Kalau orang itu baik, perlulah dihargai. Kalau orang itu jahat, perlulah kita menghukumnya. Itu prinsip hidup yang selama ini dipegang kukuh bersama jati diri yang teguh. Tiada kompromi!

“Dah siap Mirul?” Tanya Pak Hanip yang sudah bersedia untuk menutup bonet Proton Waja yang disewa. Beberapa orang kampung turut sama menghantar pemergian Amirul yang bakal berjuang di Selatan tanah air kelak.

“Belum lagi. Ada satu lagi beg yang nak kena masukkan dalam bonet,” Amirul menjawab sambil melangkah semula masuk ke dalam rumah.

“Haaa… eloklah tu… panggilkan emak hang sekali. Dah siap-siap nanti boleh kita gerak terus. Kalau lewat berangkat, lambat pulak kita sampai sana.”

“Okay!”

Ketika dia melangkah masuk dalam rumah.

“Amirul…” panggil Mak Som yang sudah menitiskan air mata. Dia terus memeluk anak sulungnya itu. Entah kenapa hatinya terlalu berat mahu melepaskan Amirul pergi. Bagaikan ada satu perasaan yang sukar diungkapkan dalam hati. Macam-macam perkara mengusik jiwa perempuannya.

“Pasaipa ni mak? Malulah orang kampung tengok dekat bawah tu. Dahlah mak…” Amirul cuba melepaskan pelukan emaknya. Entah kenapa dia berasa tidak selesa apabila diperlakukan sedemikian. Padahal sebelum ini, ketika diumumkan sebagai pelajar cemerlang, dia berasa sangat bahagia apabila dipeluk emaknya. Entahlah, mungkin dia kini berada di satu fasa hidup yang berbeza.

“Amirul, jaga diri baik-baik ya. Jangan tinggal sembahyang. Jangan lupakan mak dengan adik-adik. Selalu-selalulah talipon mak nanti ya,” pesan Mak Som seperti Amirul akan pergi meninggalkan keluarga buat selama-lamanya.

“Mak, nanti cuti pertengahan semester orang baliklah mak. Bukan Mirul nak duduk sana lama-lama pun. Mirul mesti rindukan mak punya kalau lama-lama kat sana. Daripada duduk sana, baik Mirul balik rumah tengok mak dengan adik-adik,” Amirul cuba menenangkan emaknya dengan harapan tangisan itu akan sedikit reda.

“Abang, jangan lupakan Apit dengan Una tau. Jangan nak bercouple lagi. Belajaq rajin-rajin dulu baru pikir nak couple semua,” tiba-tiba adik perempuannya mencelah. Mak Som yang tadi tersedu-sedu menangis, tiba-tiba saja tersenyum dan mahu gelak besar. Memang telatah Husna di luar jangkaan. Orang tengah berdrama sedih-sedih, berpesan itu ini kepada Amirul, selamba saja dia mencelah dengan nasihat sedemikian rupa. Amirul turut ketawa kecil mendengar kata-kata adiknya.

“Ye lah! Abang tak akan couple selagi Una tak couple. Boleh?” Amirul melutut cuba menyamakan ketinggiannya dengan Husna.

“Ish! Abang ni, Una ni kecik lagi. Nanti kalau couple lepas tu kantoi dengan cikgu, nanti cikgu suruh bersanding depan perhimpunan. Macam kawan Una kena. Malu gila bang! Sebulan jugaklah semua orang dok mengata dekat dia. Kalau jadi dekat Una, mahu sebulan Una jalan tutup kepala guna tong sampah besar majlis bandaran yang warna hijau tu,” jelas  Husna disambut hilai ketawa keluarga itu.

“Hoi… cepatlah! Nanti kita terlambat,” jerit Pak Hanip dari bawah. Mereka sekeluarga kembali terkocoh-kocoh bersiap dan Amirul mengambil baki beg yang mahu dimasukkan ke dalam bonet kereta.

“Ni yang last Pak Hanip,” kata Amirul memasukkan beg yang terakhir.

“Yakin ka? Cuba hang tengok betul-betul. Nanti kalau tertinggal, jenuh pulak kami nak ngantarnya. Dokumen untuk pendaftaran semua hang dah ada?” desak Pak Hanip demi memastikan semua barang Amirul tidak ada yang tertinggal.

Takut juga Amirul kalau apa yang diperkatakan oleh Pak Hanip tadi benar-benar berlaku. Kalau satu dokumen tertinggal, silap hari bulan terpaksa balik semula ke Kedah semata-mata nak ambil benda tu. Nak mengharapkan Pak Hanip hantar, memang tak mungkinlah. Kereta ni pun sekadar sewa. Kalau naik kereta Mercedes lama Pak Hanip yang entah tahun bila tu, takut tak sampai pula!

“Nah, ni hadiah daripada orang kampung! Kami tau hang kena guna benda ni,” Pak Jalus bersuara sambil menghulurkan sesuatu yang terisi di dalam kotak dan berplastik. Besar dan berat. Apa pulalah yang mereka bagi. Terlalu banyak nikmat yang dia dapat sejak menjadi pelajar cemerlang dan berjaya mewakilkan penduduk kampung untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading.

“Apa pulak ni Pak Jalus?” Amirul benar-benar terkejut dan agak berat menerima hadiah tersebut. Pada masa sama hatinya seakan tidak sabar mahu membuka bungkusan tersebut.

“Kamu tengoklah sendiri. Pakcik nak habaq pon tak reti menatang apa ni. Pakcik tolong orang sampaikan saja. Ni pun hasil kutipan duit daripada orang kampung  untuk hang. Kami semua memang harap kat hang sorang saja setakat ni. Hang saja yang boleh masuk universiti kat kampung kita ni. Nak harap anak-anak kami, bolehlah kami melawat pusat serenti…” tambah Pak Jalus. Ada nada kesal dalam jiwanya.

Benar kata-kata Pak Jalus. Ramai pemuda kampungnya yang jauh tersasar dek najis dadah. Kebanyakkan mereka hanyut kerana terikut kawan-kawan sebaya. Mudah sangat terpengaruh dengan benda-benda yang tak elok. Dadah bukannya boleh buat main-main. Sekali cuba memang susah nak kembali ke pangkal jalan. Silap-silap satu keturunan boleh rosak.

Amirul menarik keluar kotak daripada dalam plastik. Sekali lagi, reaksi mukanya sama seperti dia menerima kotak daripada emaknya semalam. Kali ini ditambah dengan mulut yang ternganga.

“Kan mahal barang ni Pak Jalus. Tak mampu saya nak bayaq ni!” Kata Amirul yang tersengih-sengih malu.

“Kami tak suruh hang bayaq pun. Kami nak suruh hang belajaq rajin-rajin ja. Lagipun, benda tu tak mahai mana. Ni semua duit orang kampung. Pakat-pakat kumpul. Sekurang-kurangnya ringanlah sikit bebanan hang tu,” jelas Pak Jalus sambil menepuk bahu Amirul. Mukanya benar-benar seperti seorang ayah yang sedang memberi nasihat kepada anak sendiri. Dia mahu melihat pemuda di hadapannya berjaya dan membawa perubahan kepada kampung mereka.

“Terima kasih semua. Amirul tak tahu nak cakap apa. Amirul hanya mampu boleh cakap terima kasih saja.”

“Kami nak hang belajaq rajin-rajin lepas tu buat perubahan sikit dekat kampung kita ni. Kami harap hang boleh jadi insan yang berguna untuk kampung kita suatu hari nanti,” seorang makcik berbaju Kedah dan berkain batik tiba-tiba bersuara. Tok Su yang agak berusia terlalu bangga dengan kejayaan anak kampung itu.

“Eh, laptop. Siapa bagi ni abang?” Syafiq teruja melihat kotak yang dipegang oleh Amirul.

“Mana Amirul dapat ni?” Mak Som pula bersuara sambil memakai kasut.

“Orang kampung pakat-pakat kumpul duit, lepas tu bagilah menatang ni kat Amirul…” belum sempat Amirul menjawab, Pak Hanip yang sejak dari tadi sedia menunggu menjawab.

“Syukur alhamdulillah. Hang tengok Amirul, semua orang kampung mengharapkan hang berjaya. Jangan hampakan harapan mereka. Belajaq rajin-rajin,” giliran emaknya mengulang benda yang sama. Maklumlah, orang perempuan memang suka ulang benda yang sama sebagai peringatan.

“Baiklah mak…” itu saja yang dijawab Amirul. Ketika ini hatinya betul-betul tersentuh. Giliran Amirul pula menitiskan air mata. Namun, dia cuba bertahan. Malu juga kalau orang kampung nampak.

“Dah jom… kita sambung teriak dalam kereta pulak. Dah lewat dah ni. Nanti gelap susah pulak nak cari tempat tidoq malam ni. Masuk lekaih Husna, Syafiq. Amirul, pi salam dengan semua orang kampung dulu. Jalus, hang bacalah doa sikit-sikit,” arah Pak Hanip.

Semuanya bagaikan robot yang menerima arahan. Syafiq dan Husna masuk ke dalam perut kereta. Amirul bersalaman dengan orang kampung. Macam-macam nasihat yang dia terima.

“Pi jangan dok cari betina. Belajaq bagi habih dulu baru menggatai. Belajaq jimat cermat. Kesian sikit kat mak hang dok susah payah cari duit untuk hang.”

“Duduk tempat orang jangan sombong, berlagak. Jangan dok buat pala kita ja. Pi belajaq cara depa sama. Kalau ada apa-apa masalah talipon ja kami kat kampung ni. Selagi kami mampu bantu, kami tolong sikit-sikit…”

“Sembahyang jangan lupa. Dok mana-mana pon kena ingat yang kita ni hamba. Hamba kepada Tuhan yang satu. Jangan lupa baca Quran jugak. Jangan dok ikut mana-mana ajaran sesat. Perangai tu biaq senonoh. Baru orang bekenan.”

Amirul hanya mampu tersenyum dan tunduk beberapa kali tanda menerima apa yang diperkatakan mereka. Dia sendiri tidak pasti sama ada kata-kata yang masuk ke dalam gegendang telinga itu sampai ke dalam jiwanya.

Pak Jalus mula mengetuai bacaan doa. Panjang juga doa yang dibaca. Doanya lebih tertumpu kepada kelancaran perjalanan dan kejayaan anak kampung itu. Kali ini Amirul tidak mampu lagi bertahan. Air matanya tumpah seperti sebuah kolam yang tidak lagi mampu menampung isi padu air. Perlahan-lahan dia menyeka air matanya. Beberapa orang kampung yang nampak perbuatannya turut terharu. Entah alasan apa untuk mereka berasa sedemikian.

Habis saja mengaminkan doa, terus Pak Jalus memeluk Amirul.

“Belajaq elok-elok nak. Jangan main-main. Ingat! Kita ada tanggungjawab terhadap agama, bangsa, negara dan hang sendiri. Hang lah yang bakal mewarisi kampung ni. Jadilah manusia yang berguna. Kalau dicampak ke tanah jadi tanah yang subur, kalau dicampak ke laut jadi pulau yang indah.”

“Terima kasih Pak Jalus. Kirim salam dan sampaikan ucapan terima kasih saya kepada semua penduduk kampung. Jasa kalian sangat saya hargai. Doa kalian memang saya harapkan. Semoga Tuhan saja yang membalasnya. InshaAllah, umur panjang kita bertemu lagi,” ucap Amirul sambil meleraikan pelukan lalu masuk ke dalam kereta. Dia duduk di sebelah Pak Hanip yang akan memandu sejauh 400 kilometer lebih.

“Bismillahirahmanirrahim… kita gerak sekarang…” Pak Hanip memberi isyarat sambil tangan kirinya menurunkan brek tangan. Dia mula menekan minyak dan kereta meluncur laju meninggalkan halaman rumah. Amirul melambaikan tangan kepada penduduk kampung yang setia menghantarnya hingga ke saat ini.

“Tengok tu Amirul. Semua orang kampung mengharapkan hang sorang saja. Tiap-tiap hari depa dok sembang pasai hang dekat masjid tu. Kata hang nanti jadi menteri la, jadi askar la, jadi doktor la… Macam-macam benda depa kata. Tapi yang sebenaqnya hang belajaq benda apa?”

“Saya belajaq Information Technology…” jawab Amirul melayan pertanyaan Pak Hanip sambil ketawa kecil. Adik-adiknya seronok melihat pemandangan di luar kereta. Bukan selalu mereka keluar dari kampong itu. Inilah pengalaman pertama mereka melihat tempat orang apatah lagi ke negeri yang tidak pernah dikunjungi sebelum ini.

“Hah? Apa tek? Macam pelik ja menatang hang nak belajaq ni,” Pak Hanip mengerutkan dahinya.

“Apalah Pak Hanip ni… Teknologi Maklumat la. Belajaq pasai komputer-komputer ni haaa,” Amirul tergelak besar mendengar respons Pak Hanip.

“Cakaplah awai-awai dalam Bahasa Melayu. Manalah aku nak paham hang cakap bahasa omputih. Sebab tu lah dok dengaq kot lain. Aku ni belajaq tingkatan tiga pon tak lepaih. Manalah nak reti sangat. Hahaha…” Pak Hanip turut ketawa.

Emak dibelakang sudah lama melelapkan mata. Mungkin pening kepala. Maklumlah lima belas tahun sekali naik kereta berjalan jauh. Rasa mabuk mula menyerang. Jadi, ubatnya adalah dengan melelapkan mata. Itu saja yang dia mampu buat.

***

Kenching sebuah novel Azwar Kamaruzaman terbitan Buku Pojok boleh didapati di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 bermula dari 28 April hingga 07 Mei 2017.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s