Oleh: Azwar Kamaruzaman

Semuanya berjalan lancar. Tiada kesesakan jalan raya mahupun kemalangan berlaku kecuali kereta beratur ketika mahu membuat bayaran tol di lorong masing-masing. Amirul memerhati wajah Mak Som. Biarpun tidak berapa sihat, digagahi juga untuk menghantarnya. Banyak juga perhentian rehat yang terpaksa disinggah disebabkan emak yang mengadu loya dan pening kepala. Sudah lama dia tidak menempuh perjalanan sejauh ini. Tetapi demi anak tersayang, secubit rasa kesakitan ini diabaikan. Kesakitan yang sudah lali dibadannya.

Perjalanan yang memakan masa 10 jam dari Baling ke Batu Pahat dirasa Amirul begitu memenatkan. Walhal dia hanya duduk di sebelah Pak Hanip yang memandu. Pak Hanip pula yang masih segar bugar biarpun sudah menempuhi perjalanan jauh. Kudratnya mengalahkan orang muda.

Siapa yang tak kenal Pak Hanip yang satu masa dahulu pernah dicadangkan menjadi wakil rakyat bagi mengantikan wakil rakyat terdahulu yang duduk di Kuala Lumpur dan hanya menjenguk menunjukkan muka apabila tiba musim pilihan raya. Wakil rakyat itu hanya pandai menyemai janji. Malah dibawanya beberapa media untuk menjadi senjata propaganda. Apabila dunia akhir zaman, segala kebaikan perlu dihebohkan satu dunia. Hilang rasa keikhlasan disebabkan kita lebih tertarik dengan perhatian manusia berbanding Tuhan.

Kadang-kadang Amirul terfikir juga apa yang menyebabkan Pak Hanip masih bertenaga manakala dia pula umpama orang kehilangan kudrat. Mungkin dia perlu belajar sesuatu daripada Pak Hanip. Amirul perlukan kekuatan itu.

“Amirul, baik hang tengok papan yang dok tulih nama-nama tempat ni. Cari kat mana universiti hang tu. Lepaih ini kita kena cari asrama lagi. Takkan hang nak lena kat kereta ja,” kata Pak Hanip yang pekat loghat utaranya.

Selagi dia belum menjumpai lokasi universitinya, selagi itu dia risau. Lagipun hari sudah semakin lewat. Mereka perlu cepat. Kalau dia sudah tahu di mana universiti itu senang sikit hatinya.

“Kalau ikut papan tanda ni, kita dah nak sampai dah. Pak Hanip jalan teruih ja, lagi lima kilometer nampaklah simpang belok kiri,” Pak Hanip mengangguk menerima arahan Amirul. Pak Hanip terus memandu membelah cahaya jingga yang menerangi jalan raya.

“Abang, tu universiti hang,” Apit yang senyap dari tadi memecah sunyi.

“Mana?” Mata Amirul tertancap pada beberapa huruf besar yang disimbah dengan cahaya warna-warni. Cantik.

Betullah ini,” dia mengomel sendiri.

“Besaq sungguh aih universiti abang ni. Siap ada bola besi kat tengah tu,” tambah Mak Som yang merakam kekaguman dalam dirinya. Lebih membuat hatinya berbunga bangga disebabkan anaknya akan menjadi salah seorang daripada penuntut universiti hebat ini.

“Lepas ni abang balik rumah tak cakap loghat Utara dah,” sampuk Apit sengaja menyakat abangnya.

“Abang hang cakap bahasa apa lepaih ini Apit?”

“Abang cakap key-ell Pak Hanip. Habislah kena rejam kalau abang balik kampung cakap key-ell,” usikan Apit mencuit hati mereka di dalam kereta yang semenjak tadi agak hambar dan sunyi.

“Dak aih, guna loghat kita juga la. Apit ini suka buat pala tau,” balas Amirul yang geram dengan usikan adiknya.

“Amirul hang duduk sini carilah awek cun. Boleh kongsi dengan Pak Hanip… hahaha,” gelak Pak Hanip menjengkelkan sambil diperhati Mak Som.

“Amboi Hanip, hang kemain noh nak hat muda sahaja. Kita hantaq Amirul nak suruh dia belajar, bukan ngorat.”

“Aku guraulah Som. Mana ada. Saja hiburkan hati. Susah nak cari pengganti arwah. Sabar layan kerenah aku semua. Sekarang tumpuan aku mahu beribadah dan berbakti kepada masyarakat ja,” lontaran kata Pak Hanip sedikit berubah nada berbanding tadi. Suram.

Mak Som menjadi serba-salah. Kata-kata aku buat Hanip terasa hati ka?Hatinya mengomel.

“Amirul dengan Husna, ampa tengok kiri kanan mana tau ada hotel bajet ka, homestay ka? Bagitahu na.”

“Baik Pak Hanip,” jawab Husna dan Amirul. Amirul fokus memandang di sebelah kiri manakala Husna sebelah kanan.

“Abang, aku boleh nampak cahaya keimanan hang,” Apit mengusik Amirul sekali lagi.

“Apa lagi ni Apit?”

“Ye lah, cahaya telefon baru menampakkan keimanan kat muka abang. Berseri-seri.”

Amirul tergamam. Mana punya falsafah yang Apit belajar ni. Nokharom! Kuat perli dia ini, hatinya membara.

“Hang kecil lagi Apit. Aku makan garam dulu dari hang,” balas Amirul dengan ayat yang paling style sekali.

“Ye lah, sebab hang makan garam dulu la risiko hang nak dapat darah tinggi lebih besaq dari Apit,” dia terkena lagi. Kali ini dia memang terdiam umpama terkena serangan strok.

 “Kenapalah adik aku macam ni? Mak salah makan ka time mengandungkan dia? Termakan buah karom ke?” Persoalan ini bermain dalam fikirannya.

“Apa dok gaduh ni. Tak malu ka kat Pak Hanip,” Mak Som masuk campur. Malu dia melihat anak-anaknya bergaduh depan orang lain.

“Biasalah Som, budak-budak.”

Jam digital kereta menunjukkan ke angka 10.45 malam. Perjalanan diteruskan mencari hotel bajet untuk bermalam. Selepas 30 minit mencari, barulah mereka menjumpai hotel bajet yang terletak di Yong Peng. Pak Hanip berkongsi bilik dengan Amirul manakala Mak Som, Husna dan Apit dalam satu bilik lain. Selesai makan malam dan membersihkan diri, Amirul mencampakkan badan ke katil. Suis lampu ditutup.

***

Kenching sebuah novel Azwar Kamaruzaman terbitan Buku Pojok boleh didapati di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 bermula dari 28 April hingga 07 Mei 2017.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s