Oleh: Prof. Dr. Ahmat Adam

Menurut berita yang disampaikan kepada saya, pihak-pihak yang mempertahankan dan ingin merasmikan tarikh 1262 sebagai tarikh pengasasan kerajaan Melaka kini sedang melobi agar Kementerian Pendidikan mengarahkan supaya tarikh “ciptaan” beberapa orang yang mengaku “sejarawan” itu dimasukkan ke dalam buku teks Sejarah untuk kegunaan di sekolah-sekolah. Walaupun berita ini belum dapat dipastikan kesahihannya, namun sebagai seorang yang belajar, menyelidik dan menulis Sejarah Tanahair dan wilayah Nusantara, saya pun bimbang jika fantasi mereka yang mahukan tarikh 1262 diterima sebagai tarikh pengasasan negeri Melaka itu akan mempengaruhi pembuat kurikulum Sejarah Malaysia – kerana maklum sahajalah, di negara ini “political pressure” boleh mengubah sesuatu keadaan tanpa mempedulikan prinsip kebenaran.

Pemilihan 1262 sebagai tarikh penubuhan dan pengasasan kerajaan Melayu Melaka telah diputuskan oleh satu pasukan “sarjana” yang mendakwa diri mereka sebagai penyelidik yang sebenarnya telah dilantik oleh kerajaan negeri Melaka menerusi Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP). Pada 31 Mei 2010 mereka yang merupakan penyelidik upahan itu telah mengadakan “Seminar Tahun Pengasasan Kerajaan Melayu Melaka” yang dianjurkan oleh IKSEP dengan dihadiri oleh beberapa orang “sarjana” dari Universiti tempatan.

Asas mereka yang bertegang merih hendak mempertahankan tarikh yang tidak belandaskan bukti sejarah tu ialah bahawa jika dihitung masa pemerintahan seseorang raja Melaka dengan bermula daripada tarikh penggulingan Sultan terakhir di Melaka iaitu Mahmud Syah, oleh Portugis pada bulan Ogos 1511, dan pengiraan usia tiap-tiap raja itu diundurkan ke belakang (kepada raja yang pertama) maka mereka kononnya mendapati tarikh 1262 itulah tarikh pengasasan kerajaan Melaka. Argumentasi yang dikemukakan oleh mereka yang membuat andaian ini ialah bahawa sumber “Sejarah Melayu” perlu dijadikan satu-satunya sumber primer utntuk menentukan tarikh pengasasan kerajaan Melaka.

Tetapi “Sejarah Melayu” mempunyai banyak versi. Setakat yang diketahui terdapat tidak kurang daripada 44 naskhah (manuskrip) hikayat Melayu ini tetapi yang masih ada tersimpan di beberapa perpustakaan seluruh dunia ialah 33 buah manuskrip sahaja. Dalam pada itu ada di antaranya yang lengkap penceritaannya dan ada yang tidak. Kesemua manuskrip ini hanyalah berupa salinan sahaja dan manuskrip aslinya tidak pernah ditemui. Bahkan Manuskrip Raffles No. 18 yang tersimpan di London itu pun hanya berupa salinan yang dibuat oleh penyalin yang tidak diketahui namanya sekitar awal abad ke-19. Stamford Raffles, sebagai seorang yang berminat mengumpulkan manuskrip-manuskrip Melayu telahpun menghubungi pembesar kerajaan Siak agar mengirimkan kepadanya naskhah “Sejarah Melayu”. Dan pada 19 Disember 1810 Datuk Seri Pikrama Raja iaitu Wazir Sultan Siak pun menghantar surat kepada Raffles dengan menyatakan bahawa senaskhah “Sejarah Melayu” ada dikirim melalui seorang India (mungkin Peranakan) bernama Ibrahim Kandu.

Antara naskhah-naskhah “Sejarah Melayu” itu ada dua versi yang popular dan dikenali orang; pertama ialah naskhah yang dinamakan Manuskrip Raffles 18, yang menurut pendapat ramai sarjana ia disalin pada sekitar pertengahan 1612. Kedua ialah versi yang lebih terkemudian, yang disalin dan dikenali sebagai versi Shellabear atau versi yang disalin oleh Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi. Satu lagi versi ialah naskhah yang sampai kini tersimpan di St. Petersburg, Russia. Ia telah disalin di Melaka pada tahun 1798. Sebuah resensi mengenainya telahpun saya terbitkan pada tahun 2016 yang lalu.

Dalam membuat agakan tarikh pembukaan Melaka beberapa orang yang dibayar oleh pihak berkuasa negeri Melaka itu telah menggunakan naskhah “Sejarah Melayu”, MS. Raffles No. 18. Pemilihan ini dibuat barangkali kerana hanya dalam versi ini sahajalah terdapat catatan tempoh masa pemerintahan Raja Iskandar Syah (20 tahun), Sultan Megat (2 tahun), Sultan Muhammad Syah (57 tahun), Sultan Muzaffar Syah (40 tahun), Sultan Mansur Syah (73 tahun), Sultan Alauddin Ri’ayat Syah (33 tahun), dan Sultan Mahmud Syah (30 tahun). Oleh kerana mereka yang mendakwa negeri Melaka diasaskan pada 1262 itu tidak meragui langsung tentang kesahihan maklumat dalam kitab “Sejarah Melayu”, yang diangap oleh mereka sebagai “buku sejarah yang sahih”, maka mereka pun secara enteng dan dengan naifnya telah cuba menerka tarikh pembukaan negeri Melaka dengan cara menghitung ke belakang usia raja-raja yang namanya disebut di dalam hikayat Melayu itu. Suatu hal yang mereka abaikan ialah dalam penyelidikan sejarah apabila terdapat konflik atau perselisihan mengenai satu-satu maklumat maka penyelidikan yang lebih tuntas perlu dibuat. Selain itu yang lebih penting, prinsip memepersoalkan kesahihan sesuatu sumber perlu dipakai oleh seorang sejarawan yang berkredibiliti. Menurut Prof. Datuk Abdullah Zakaria Ghazali (seperti yang dilaporkan oleh Utusan Online, 16 Mac 2016).

“Dengan melihat tempoh setiap tahun raja memerintah sehinggalah diserang dan ditakluk Portugis, maka jumlah tahun pemerintahan raja-raja Melaka adalah 256.5 tahun, berdasarkan tahun bulan (kamariah).” Katanya lagi, “Memandangkan jumlah itu mengikut tahun bulan [lunar], maka ia perlu ditukar ke tahun matahari (syamsiah) terlebih dahulu sebelum ditolak dengan tahun 1511 (penaklukan Portugis). Setelah ditukar [dengan] menggunakan kaedah pengiraan, jumlah tahun pemerintahan Kesultanan Melaka adalah selama 248.7 tahun (dalam tahun matahari). Seterusnya, tahun 1511 ditolak dengan 248.7, kita akan memperolehi 1262 sebagai tahun pengasasan kerajaan Melaka.” Demikian hujahnya. Untuk menjadikan hal ini lebih celaru lagi, Ketua Menteri Melaka pada masa tarikh ini diusulkan, telah berkata, “Keputusan [menetapkan tahun 1262 sebagai tarikh sebenar penubuhan kerajan Melaka] “adalah muktamad”. Demikianlah kata seorang politikus (Utusan Online, 1 Jun 2010).

Prof. Datuk Abdullah juga cuba menegaskan tanpa rasa kritis sedikitpun terhadap kesahihan sumbernya; misalnya, layakkah “Sejarah Melayu” itu dijadikan sumber sejarah pengasasan kerajaan Melaka? Bahkan dia mengkritik pula pendekatan yang digunakan oleh O. W. Wolters (lihat The Fall of Srivijaya in Malay History) dalam mempersoalkan niat terselindung ataupun “kebijaksanaan” pengarang “Sejarah Melayu” mengabaikan kesinambungan pemerintahan Parameswara yang bermula di Palembang dan kemudian di Singapura dan selepas itu disambung di Melaka. Bahkan Prof. Abdullah juga menuduh: “Wolters juga menyatakan ahli salasilah [maksudnya pengarang “Sejarah Melayu”] tidak memasukkan pemerintah Raja Iskandar di Palembang kerana tujuan ahli salasilah adalah untuk menggantikan sejarah Sumatera dengan ‘Sejarah Singapura’”.

Wolters juga dikatakannya cuba “untuk memulakan titik pencarian tahun pengasasan Melaka bermula dari Jawa. Profesor ini pun menuduh Wolters cuba menghubungkan Parameswara dengan Majapahit dengan mengaitkannya dengan kacau bilau selepas kematian Hayam Wuruk pada tahun 1389. Tanpa memahami sejarah gugatan Palembang oleh Majapahit, yang melibatkan Parameswara, jelas professor ini tidak melihat sesuatu peristiwa sejarah dalam gambaran yang lebih lebar.

Bayangkanlah betapa kesalahan pemahaman Prof. Datuk Abdullah Zakaria terhadap analisis Wolters seperti yang dilaporkan oleh Utusan Online (1 Jun 2010; dan 19 Mac 2016), boleh menyebabkan kualiti seorang profesor Malaysia dipersoalkan. Pertama, Profesor Datuk ini tidak faham akan analisis dan argumentasi Wolters mengenai muslihat penulis “Sejarah Melayu” untuk menunjukkan tempoh dua tahun masa Parameswara melarikan dirinya dari Singapura ke Melaka itu adalah juga masa yang dianggap masa dia masih lagi menjadi raja berdaulat dan justeru kerana itu ia telah menggabungkan tempoh pelarian itu ke dalam masa 20 tahun di Melaka itu. Juga pengarang “Sejarah Melayu” ingin menggabungkan tempoh masa 6 tahun Iskandar [Parameswara] memerintah Singapura dengan 14 tahun di Melaka, dengan menjadikannya 20 tahun. Sesungguhnya berdasarkan bukti yang ada, pemerintahan Parameswara di Melaka hanyalah 14 tahun sahaja. Wolters juga mentafsir bahawa pengarang “Sejarah Melayu” itu tidak mahu menunjukkan bahawa pengganti-pengagantinya (raja Melaka yang terkemudian) adalah berasal daripada keturunan orang yang kalah yang melarikan diri dari Palembang.

Saya hairan mengapa petunjuk yang telah diberikan oleh Wolters agar sumber Cina, “Ming Shi-lu” dirujuk untuk menulis sejarah Melaka yang lebih sahih. Jika sumber “Ming Shi-lu” dirujuk maka tidak akan timbul rumusan karut yang mengangkat tarikh 1262 itu sebagai tarikh pengasasan Melaka. Tetapi sayang sekali sumber ini tidak dirujuk.

Apakah mungkin lanataran sumber ini diterjemah dalam bahasa Inggeris maka setengah-sentengah mereka yang bergelar “sarjana” atau “professor” itu tidak membacanya? Rugilah mereka yang menganggap diri mereka “pakar sejarah” sekiranya tidak ada naluri ingin tahu untuk membaca sumber China ini.

Sebagai contoh, pada 4 Ogos 1411, Bai-li-mi-su-la [Parameswara], raja negeri Melaka, dilaporkan akan mengadap di bailrung raja China. Sida-sida Hai Shou dan juga Huang Shang seorang pengarah Kementerian Upacara, telah diarahkan menyertai majlis jamuan untuknya (Geoff Wade). Satu lagi maklumat yang menarik ialah pada 28 Oktober 1403 Sida-sida Yin Qing telah dihantar ke negeri Melaka dan Cochin untuk membawa pengisytiharan diraja (China) bagi instruksi kepada raja-raja negeri itu untuk dianugerahkan tabir kasa daripada sutera berhiaskan kelip-kelip emas. Turut dikirim ialah beberapa kaki payung serta dengan kain sutera halus beraneka corak dan juga kain sutera beraneka warna (Ming Shi-lu: Yong-le, Tahun 1, Bulan 10, Hari 13).

Usia pemerintahan Parameswara [Iskandar Syah] yang disebut 20 tahun dalam “Sejarah Melayu” MS. Raffles No. 18 itu adalah bukan usia yang sebenar seperti telah disebutkan oleh Wolters. Ini terbukti daripada sumber Ming Shi-lu yang melaporkan pada 5 Oktober 1414 tentang kunjungan Mu-gan Sa-yu(gan)-dier-Sha [Megat Iskandar Syah] iaitu anak raja Melaka yang datang mengadap Raja China untuk memberitahu bahawa bapanya Bai-li-mi-su-la [Parameswara] telah mangkat. Bahkan usia pemerintahan Sultan Alauddin Ri’ayat Syah yang hanya memerintah selama empat tahun sahaja (berdasarkan sumber warkah Melaka kepada raja Ryukyu, tahun 1480 dan 1481) dan bukan 33 tahun (seperti yang disebutkan oleh “Sejarah Melayu” naskhah Raffles 18) adalah bukti nyata bahawa sumber “Sejarah Melayu” (walau dari versi apa pun) tidak boleh digunakan sebagai sumber Sejarah Melaka.

Pendek kata, jika ada niat pihak yang memperjuangkan tarikh 1262 sebagai tahun pengasasan Melaka – lupakan saja. Janganlah membohongi sejarah! Bangsa yang dihormati ialah bangsa yang menulis sejarah berasaskan kebenaran.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s