Penyatuan tenaga dan idea antara pelbagai negeri adalah sangat penting untuk membentuk integrasi yang berkesan. Dengan penglibatan setiap lapisan masyarakat, bermula daripada pihak tertinggi iaitu kerajaan sehinggalah ke akar umbi rakyat dan gerakan sosial, nescaya sesuatu wilayah itu boleh berfungsi dengan baik sebagai satu entiti baharu dalam merancakkan program-program tempatan.


Walaubagaimanapun, integrasi seperti ini jarang sekali berlaku di Wilayah Utara Semenanjung Malaysia. Program-program kecil dan mega seperti aktiviti aktivisme dan diskusi ilmiah selalu sahaja dianjurkan tanpa menggunapakai kekuatan yang telah dinyatakan. Apabila kelebihan-kelebihan seperti jaringan komunikasi dan pengaruh tidak digunakan semaksimum mungkin, masyarakat sesuatu wilayah itu terutamanya golongan peserta dan pengunjung berpotensi tidak mungkin dapat memperoleh mesej yang cuba pihak penganjur sampaikan.

Sebagai penyelesaian, pihak penganjur telah merangka satu festival mega PANDITA FEST yang buat pertama kali telah menyatukan 11 kolektif belia, gerakan sosial dan gerakan aktivis dari Negeri Perak, Negeri Kedah, Negeri Perlis dan Negeri Pulau Pinang. PANDITA FEST yang berlangsung selama 2 hari dan 2 malam ini tekad mahu memberi penekanan kepada 4 bidang diskusi iaitu sains, sastera, seni dan budaya.

PANDITA (Bahasa Sanskrit) di dalam PANDITA FEST iaitu Pendeta di dalam Bahasa Melayunya membawa maksud seseorang yang menyebarkan ilmu.